TERKENAL sebagai salah satu lokasi pelancongan di Lenggong, Mini Amazon Kampung Beng menawarkan pengalaman menyelusuri Tasik Chenderoh sambil menyaksikan keindahan alam semulajadi termasuk dataran teratai.
Namun tidak ramai tahu bahawa Mini Amazon yang popular di laman sosial seperti TikTok sehingga menjadi bualan ramai itu diasaskan oleh anak tempatan Kampung Beng sendiri.
Dikenali sebagai Abang Lan, Roslan Abdul Rahman merupakan individu yang memperkenalkan Mini Amazon Kampung Beng sekitar 2013 selepas tiga tahun pulang ke kampung halaman dari Kuala Lumpur.
Bercakap kepada Malaysia Gazette Roslan berkata, selepas 20 tahun berhijrah ke Klang dan Shah Alam Selangor, dia mengambil keputusan untuk pulang ke Kampung Beng bagi menjaga orang tuanya.
“Ketika itu terdapat cadangan daripada rakan-rakan saya kenapa tidak sediakan perkhidmatan fishing trip (trip memancing) di Tasik Chenderoh yang dibina pada 1928.
“Masa itu Lenggong belum ada pelancongan utama dan kita bina Mini Amazon Kampung Beng ini sebab kita buat fishing trip kalau tak buat maka tidak wujudlah nama ini,” katanya.
Ditanya mengenai idea mewujudkan nama Mini Amazon Kampung Beng, Abang Lan berkata, ia diberi atas beberapa faktor termasuk kedudukan semulajadi Tasik Chenderoh berbentuk lorong-lorong menuju ke kolam besar dipanggil ‘suak’.
“Nama ini pasal ada nilai-nilai iaitu pertama dia kelihatan seperti Amazon sebab kaki pancing melalui laluan lorong kecil, kedua kewujudan pelbagai jenis ikan seperti toman, peacock bass dan sebarau.
“Ada juga yang mendakwa bahawa kewujudan ikan ini dibawa dari Amazon dan dilepaskan di Tasik Chenderoh dan ia memang menjadi kegilaan kaki pancing terutamanya yang meminati casting,” katanya.
Dataran teratai tarikan utama Mini Amazon Kampung Beng
Abang Lan berkata, pelancong yang datang ke Lenggong seharusnya tidak melepaskan peluang untuk menikmati sendiri pengalaman menyelusuri Mini Amazon Kampung Beng yang disediakan.
Beliau berkata, pengunjung dapat melihat keindahan kawasan berbukit dan pergunungan yang menghijau memandangkan Lenggong di apit dua banjaran iaitu Titiwangsa di timur dan Bintang di barat.
Katanya lagi, selain itu pengunjung juga berpeluang untuk melihat sendiri dataran teratai yang tular di media sosial dimana dikatakan sebagai tarikan utama Mini Amazon Kampung Beng.
“Salah satu pakej dalam River Cruise Mini Amazon Kampung Beng ini adalah melihat keindahan dataran teratai tapi bukan sepanjang masa kita boleh tengok, ramai yang salah faham.
“Bunga teratai ini dia hanya kembang pada waktu pagi sahaja, jadi kita tidak boleh main terjah sahaja. Ada waktunya teratai itu kembang dan pengunjung kena ambil trip jam 8, 11 dan 11.30 pagi serta 2.30 petang.
“Waktu pagi teratai ini kembang mekar dan suasananya sangat cantik berwarna merah menyala, kalau datang petang biasanya kita hanya datang untuk lihat matahari terbenam sahaja,” katanya.
Tambahnya, selain daripada berkunjung ke dataran teratai, River Cruise Mini Amazon Kampung Beng juga turut menawarkan berapa aktiviti lain kepada pengunjung.
“Pelancong berpeluang untuk melihat mengkuang, kampung-kampung yang tiada perhubungan jalan darat di mana bot menjadi pengangkutan utama, rumah tradisional Melayu berbumbung limas, memberi ikan makan di sangkar dan lain-lain lagi,” katanya.
Mini Amazon Kampung Beng bantu jana ekonomi masyarakat
Abang Lan berkata, pihaknya amat bersyukur dan gembira dengan kewujudan Mini Amazon Kampung Beng kerana ia bukan sahaja menjadi antara tarikan bagi pelancongan di Lenggong malah turut menjana ekonomi penduduk setempat.
Beliau berkata, bukan hanya jumlah penguasaha bot yang menawarkan perkhidmatan menyelusuri Mini Amazon Malaysia ini bertambah malah juga beberapa perkhidmatan lain turut dibangunkan.
“Apa kita buat ini memang menambah ekonomi bukan sekadar untuk pengusaha bot malah juga kepada pengusaha restoran, inap desa yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan malah juga mereka yang menyediakan pakej pelancongan.
“Ia memberi impak yang besar kepada masyarakat Lenggong hingga bila musim cuti sekolah atau cuti umum ramai yang datang melancong sehingga penginapan penuh dan jualan produk-produk laris.
“Malah Majlis Daerah Lenggong turut menyarankan agar perbanyakkan lagi penginapan, camping site serta kedai makan bagi memenuhi permintaan pelancong,” katanya.
Tambah Abang Lan, bagi mereka yang menggemari pelancongan semulajadi pelbagai aktiviti boleh dilakukan di Lenggong selain mengikuti Mini Amazon Kampung Beng.
“Untuk mereka yang suka alam semulajadi inilah tarukan Lenggong di mana kita tidak boleh menjanjikan Lenggong macam tempat lain yang ada ‘kelas’ tapi kita mampu janjikan pengalaman semulajadi luar biasa,” katanya. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
MGPerak: Mini Amazon Kampung Beng Wujud Daripada ‘Fishing Trip’