TANJUNG MALIM – Seramai 5,387 murid sekolah rendah dan menengah menerima Kit Peranti dan Modul 3M (Membaca, Menulis dan Mengira) pada Program Anak Kita peringkat negeri menerusi rakan pelaksana, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, program ini melibatkan 1,874 murid dari 141 buah sekolah menengah dan 3,513 murid dari 104 buah sekolah rendah di sekitar negeri ini.
Menurutnya, program itu sejajar dengan usaha kerajaan dalam memastikan pendidikan berkualiti untuk semua dan tiada anak yang tercicir akibat kekangan teknologi atau kekangan kewangan.
“Bantuan kelas bimbingan, peranti, modul dan pelan internet percuma selama setahun bagi pelajar sekolah menengah membantu meningkatkan prestasi akademik murid manakala penyediaan modul kepada murid pemulihan sekolah rendah dan guru bitara sebagai guru sokongan kepada guru pemulihan di sekolah.
“Selain itu, bantuan tersebut dilihat mampu membantu murid dalam mencapai kejayaan cemerlang dalam pelajaran,“ katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Program Anak Kita: Penyerahan Kit Peranti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dan Modul 3M Negeri Perak di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, di sini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Zainal Abas dan Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff.
Sementara itu, Md Amin berkata, UPSI bukan sahaja diberi mandat untuk menjadi penyedia perkhidmatan bagi Program Anak Kita: SPM di Perak tetapi juga Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Sabah.
“UPSI komited untuk membantu meningkatkan tahap pendidikan generasi yang akan menjadi pemacu negara pada masa hadapan, malah program ini antara inisiatif yang terbaik oleh kerajaan bagi memastikan tiada keciciran dalam bidang pendidikan di Malaysia.
Program Anak Kita adalah inisiatif Kementerian Kewangan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang diterajui oleh Pantau Madani dan Yayasan Hasanah dalam usaha menangani isu pemulihan pembelajaran di kalangan murid sekolah rendah dan sekolah menengah. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
UPSI bincang kerjasama strategik bersama Atase Akademik Kedutaan Libya