Pertumbuhan ekonomi Perak berdaya tingkat rumah mampu milik

IPOH – Kejayaan Perak membina hampir 9,000 unit rumah mampu milik sejak 2018 memberi kedudukan yang baik kepada kerajaaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Bercakap kepada Malaysia Gazette (MG) Perak, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Ridhuan Bos Abdullah berkata, pencapaian berkenaan boleh dipertingkatkan pada masa akan hadapan selari dengan pertumbuhan dan saiz ekonomi negeri.

“Dengan kitaran ekonomi melanda negara dan ekonomi global sejak 2018 termasuk pandemik COVID-19, angka berkenaan mungkin memberi kedudukan yang baik bagi Kerajaan Negeri Perak.

“Walaupun demikian, perancangan pertumbuhan ekonomi negeri perlu disertai dengan kemudahan infrastruktur termasuk penyediaan rumah mampu milik kepada rakyat,” katanya.

Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Ridhuan Bos Abdullah.

Jelas beliau, penyediaan kemudahan sosio-ekonomi seperti pembinaan kediaman perlu selari dengan pertumbuhan ekonomi negeri bagi memastikan kesan limpahannya dapat dirasai rakyat Perak.

Selain itu, beliau berkata, bagi mengekalkan bakat atau tenaga kerja misalnya sektor pembuatan dengan keperluan guna tenaga berkemahiran tinggi, Kerajaan Negeri Perak disarankan agar konsisten dalam menyediakan rumah mampu milik.

“Sinergi kerajaan negeri dan pemaju swasta juga boleh dipertingkatkan untuk menghasilkan model yang lebih baik dengan pihak swasta perlu melihat kesan limpahan daripada pertumbuhan sektoral bagi meningkatkan jualan dan keuntungan mereka,” katanya.

Ditanya mengenai jangkaan Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) bahawa sebanyak 57,407 unit rumah dengan unjuran pecahan melibatkan 5,741 unit rumah kos rendah diperlukan di negeri ini menjelang 2030, Ridhuan Bos berkata, jumlah berkenaan berdasarkan permintaan di beberapa daerah utama dalam Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika Majlis Perasmian Pelancaran Jualan Projek Rumah Perakku Pangsapuri Raflesia di Bandar Seri Botani, Ipoh, pada Sabtu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 01 FEBRUARI 2025.

Ujar beliau, dengan jangkaan rasional pertumbuhan ekonomi, saiz Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri dan permintaan kediaman mampu milik yang tinggi maka jumlah tersebut boleh ditambah kerajaan negeri bagi tempoh jangka masa panjang.

“Sekiranya kerajaan negeri mensasarkan pertumbuhan ekonomi dan pertumbuhan sektoral yang saling menyokong, saya berpandangan data itu agak menarik untuk dijadikan asas.

“Seperti yang dijelaskan, sinergi dengan pemaju swasta boleh membantu mencapai sasaran. Namun demikian berdasarkan prestasi sekarang termasuk saiz ekonomi negeri angka itu mungkin boleh dicapai dengan tempoh yang lebih panjang,” katanya.

Malaysia Gazette (MG) Perak sebelum ini melaporkan sebanyak 8,825 unit rumah mampu milik di Negeri Perak berjaya disiapkan dan memperoleh Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC), dalam tempoh sejak tahun 2018.

Saarani dalam ucapannya berkata, ia terdiri daripada 3,460 unit Rumah Perakku I, Rumah Perakku II (1,738), dan Rumah Perakku III (3,627).

Program Sayangi Rumahku daripada kerajaan negeri Perak melalui Yayasan Perak. Foto ABDULLAH YUSOF.

Katanya, kesemua rumah berkenaan dilaksanakan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan, antaranya Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP), Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI), Yayasan Perak, serta Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

“Pada tahun ini, dianggarkan sebanyak 4,450 unit rumah mampu milik dijangka siap di bawah pelaksanaan agensi-agensi yang sama.

“Sasaran ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam menyediakan lebih banyak rumah yang mampu dimiliki oleh rakyat Perak, selaras dengan usaha kerajaan untuk memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya. -MGPerak

Artikel Berkaitan:

MGPerak: Lebih 8,000 Unit Rumah Mampu Milik Perak Disiapkan

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI