DAPSY tak setuju garis panduan Muslim hadir majlis bukan Islam

IPOH – Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) menyatakan pendirian tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan mahu mewujudkan garis panduan penglibatan orang Islam dalam sambutan perayaan, upacara kematian, kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat bukan Islam.

Ketuanya, Woo Kah Leong berkata, sebaliknya pihaknya mencadangkan agar kerajaan membatalkan pelaksanaanya dan mengekalkan dasar sedia ada atau status quo berhubung perkara berkenaan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar menyifatkan panduan itu secara tidak langsung akan menyekat usaha pemahaman masyarakat yang akan mengakibatkan jurang lebih besar antara masyarakat Islam dan bukan Islam di negara ini.

Malah ujarnya, garis panduan seperti itu tidak diperlukan kerana ia akan menambah kerenah birokrasi yang membebankan penganjur bagi sebarang acara kebudayaan dan perpaduan yang mahu mengeratkan hubungan sesama masyarakat pelbagai bangsa dan agama.

“Pelaksanaan garis panduan sedemikian akan mengurangkan peluang bagi masyarakat yang berasal daripada latar belakang yang berbeza untuk saling memahami budaya antara satu sama lain, sekali gus menjarakkan hubungan antara pelbagai kaum di Malaysia.

“Sebaliknya, lebih banyak program kebudayaan yang melibatkan pelbagai kaum dan agama perlu dianjurkan bagi menggalakkan rakyat memahami serta menghormati perbezaan budaya masing-masing.

“Melalui interaksi yang terbuka dan ikhlas, barulah hubungan silaturahim antara masyarakat dapat terus diperkukuhkan demi menjamin keharmonian serta perpaduan negara,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Tambah Kah Leong, tiada keperluan untuk kerajaan memperkenalkan garis panduan baharu berhubung perkara itu, sebaliknya peraturan dan undang-undang sedia ada sudah memadai untuk mengekalkan interaksi baik antara kaum di negara ini.

Kata beliau lagi, sejak negara mencapai kemerdekaan, tidak pernah timbul sebarang isu daripada masyarakat pelbagai bangsa berkenaan kehadiran dan penglibatan dalam mana-mana perayaan dan upacara.

“DAPSY percaya bahawa rakyat Malaysia, sama ada Muslim atau bukan Muslim, mempunyai kebijaksanaan dan kematangan untuk berinteraksi secara harmoni tanpa perlu campur tangan berbentuk garis panduan tambahan daripada mana-mana pihak berkuasa.

“Selama ini, wakil rakyat dan pemimpin masyarakat sering hadir dalam majlis perayaan pelbagai kaum dan tujuannya bukan untuk beribadah tetapi untuk berdialog dengan komuniti masyarakat yang berbeza demi mengukuhkan perpaduan nasional,” jelasnya.

Pada masa sama, Kah Leong berkata, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pernah berkenan berangkat merasmikan serta menyaksikan Festival Perarakan Chingay di Johor.

Tambah beliau, sementara Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dijadual akan berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Perayaan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Selangor di Tokong Fo Guang Shan Dong Zen untuk meraikan Tahun Baru Cina pada 8 Februari ini.

Justeru beliau berkata, keterbukaan dan kesederhanaan baginda berdua telah membuktikan bahawa model hubungan antara Muslim dan bukan Muslim ketika ini adalah harmoni dan tepat.

“Dengan mengguna pakaikan acuan dan contoh yang ditunjukkan baginda, rakyat pelbagai kaum dan agama telah lama menyambut perayaan masing-masing dengan sikap terbuka dan penuh rasa hormat tanpa menimbulkan sebarang konflik.

“Keberlangsungan program-program tersebut yang berlangsung di rumah ibadat bukan Islam bukan sahaja tidak menggugat kepercayaan agama mana-mana pihak, malah menunjukkan nilai keharmonian dan kebersamaan dalam kalangan rakyat yang memiliki latar belakang yang heterogen,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, kerajaan akan memperkenalkan garis panduan baharu bagi majlis melibatkan umat Islam di rumah ibadat bukan Islam.

Kata beliau, garis panduan yang sedang dimuktamadkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu antara lain akan diperkenalkan supaya pembabitan orang Islam dalam majlis berkenaan tidak disertakan perbuatan yang boleh menyentuh sensitiviti.

Sebagai contoh, perkara membabitkan ucapan atau nyanyian berbentuk propaganda, penyebaran risalah dan agama, persembahan atau ucapan yang menghina atau mempersendakan pegangan agama umat Islam. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

DAPSY ingatkan Dr Akmal jangan jadi batu api dan berlagak hero

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI