IPOH – Kerajaan Perak melarang sebarang aktiviti penjualan dan penggunaan minuman keras di semua lokasi perarakan pedati atau chariot Thaipusam di seluruh negeri ini pada minggu hadapan.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, larangan itu kali pertama akan dilaksanakan sepanjang perayaan itu berlangsung.
Katanya, perkara itu diputuskan susulan menerima aduan berkenaan gangguan terhadap penganut dan penggunjung ekoran daripada penggunaan minuman keras pada perayaan itu sebelum ini.
“Pernah berlaku sebelum ini gangguan (terhadap pengunjung dan penganut) ketika perarakan chariot Thaipusam, terutama pada waktu malam, akan tetapi tiada sebarang tindakan diambil.
“Dan tetapi kali ini kerajaan negeri telah meminta supaya ada tindakan tegas diambil. Kita tidak tahu dari mana sumber minuman keras yang mereka bawa ke tempat perayaan sebelum ini.
“Kali ini kita ada anggota Jabatan Siasatan Jenayah (CID) polis ditempatkan di lokasi perayaan untuk pemantauan keselamatan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Sambutan Hari Thaipusam Peringkat Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Khamis.
Jelas Sivanesan, mana-mana pihak yang melanggar ketetapan tersebut bakal berdepan tindakan tegas mengikut peruntukan kanun keseksaan atas kesalahan menimbulkan kacau ganggu kepada keharmonian serta ketenteraman awam.
“Saya berharap perkara ini tidak akan berlaku. Namun jika ia berlalu juga (penjualan dan penggunaan arak), kita minta pihak polis untuk tidak bertolak ansur.
“Pihak polis akan terus ambil tindakan tegas termasuk menangkap dan terus bawa ke mahkamah. Ini adalah permintaan kerajaan negeri,” jelas beliau.
Dalam perkembangan sama, Sivanesan memberitahu, dianggarkan 350,000 orang pengunjung termasuk penganut Hindu bakal hadir ke Kuil Kallumalai Arulmigu Sri Subramaniar di Gunung Cheroh, dekat sini.
Menurut beliau, beberapa penambahbaikan telah dilakukan sebagai usaha mengurangkan kesesakan trafik antaranya melibatkan penutupan jalan dan had pemasangan khemah jualan.
“Tahun ini hanya jalan-jalan tertentu sahaja yang dilalui chariot yang akan ditutup, dan anggota polis trafik ada ditempatkan di situ bagi memastikan kelancaran lalu lintas.
“Bagi khemah jualan yang tiada kebenaran MBI (Majlis Bandaraya Ipoh), tindakan kompaun dan rampas akan dikenakan,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: