IPOH – Tidak sampai dua bulan, polis Perak berjaya menahan 2,293 individu serta merampas pelbagai jenis dadah seberat 38.6 kilogram (kg) bernilai RM770,766 sejak Januari hingga semalam.
Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, kesemua mereka ditahan dalam operasi yang melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND).
Menurutnya, dadah yang dirampas termasuk heroin 29,611.14 gram (g), ganja (306.49 g), syabu (3,094.38 g), ketamin (1,379.96 g), pil ecstacy (2,848.65 g), pil yaba (5.06 g) dan pil erimin 5 (1,340 g).
“Seramai 87 orang dituduh di bawah Seksyen 39 C Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 sepanjang tempoh berkenaan.
“Nilai sitaan harta bagi tempoh tersebut bernilai RM748,855.95,” katanya pada sidang media di Bilik Media IPK Perak, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Zulkafli berkata, dalam Op Tapis Khas dilaksanakan pada 4 hingga 6 Februari lalu, pihaknya menumpukan lokasi sarang penagih dadah di sekitar Ipoh dan Selama.
Katanya, sepanjang tiga hari operasi itu diadakan pihaknya berjaya membuat serbuan di 10 sarang penagih di sekitar kawasan berkenaan.
“Antara lokasi tersebut termasuklah tanah perkuburan Cina, kawasan semak, rumah pangsa, kebun kelapa sawit, kawasan perindustrian dan beberapa kawasan di Batu Kurau,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Polis tahan tiga lelaki disyaki jual dadah ketika konsert tahun baharu