Gangguan bekalan air di Tapah, Bidor, Teluk Intan dijangka pulih mulai esok

IPOH – Gangguan bekalan air yang melibatkan kira-kira 50,000 akaun pengguna Lembaga Air Perak (LAP) di Tapah, Bidor dan Teluk Intan akan pulih secara berperingkat menjelang esok.

Exco Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, LAP telah mengeluarkan Notis Gangguan Bekalan pada 6 Februari lalu bagi melaksanakan kerja pencarian paip yang bocor dan telah mula melakukan kerja pembaikan pada hari sama.

Menurutnya, kerosakan itu berpunca daripada kebocoran saluran paip air mentah dari Intake (muka sauk) Batu 7 Sungai Woh yang menyalurkan air ke Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Temoh yang berlaku sejak 4 Februari lalu.

Tambahnya, peratusan pemulihan awal bekalan air di kawasan terjejas mencapai 50 peratus berasaskan kerja-kerja penyelenggaraan paip bocor yang dilakukan akibat kejadian tanah runtuh di Taman Bunga Raya dekat Tapah.

“Saya menjangkakan, kalau kerja tu selesai hari ini, test (uji) balik, kemudian pagi esok boleh kita salurkan (bekalan air) 50 peratus itu.

“Baki 50 peratus lagi kita akan tengok balik. Kalau kerja-kerja yang lain, tambahan itu boleh kita percepatkan, kedua-dua paip ini yang kita (jalankan) bypass (kerja-kerja pintasan) maka kita boleh benarkan 90 peratus daripada air itu dapat dibekalkan.

“Jadi, seawal-awalnya (bekalan air itu dapat disalurkan) dua hingga ke tiga hari juga,” katanya.

Gangguan bekalan air di Tapah, Bidor, Teluk Intan dijangka pulih mulai esok
Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin ketika sidang media berhubung isu gangguan bekalan air akibat kebocoran paip air mentah ke Loji Rawatan Air Bukit Temoh, sejak 4 Februari lalu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 10 FEBRUARI 2025.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung isu gangguan bekalan air akibat kebocoran air paip mentah ke Loji Rawatan Air Bukit Temoh di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Isnin.

Hadir sama, Pengarah Negeri Wilayah Utara Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Cawangan Perak, Ir TS Mohd Zaidi Mohamad Saad dan Jurutera (Bahagian Operasi) SPAN Perak, Nor Bahri Yaacob.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohammad Nizar berkata, LAP dan SPAN telah bekerjasama mengagihkan bekalan air menggunakan 23 lori tangki di kawasan-kawasan terjejas termasuk Hospital Tapah dan Hospital Teluk Intan.

“Sebanyak 10 buah lori tanker (lori tangki) berada di kawasan gangguan untuk mengagihkan air dan dibantu 13 buah lori tanker daripada SPAN,” ujarnya.

Gangguan bekalan air di Tapah, Bidor, Teluk Intan dijangka pulih mulai esok
Pengurus Besar Lembaga Air Perak, Ir Lokman Abdul Rahim ketika sidang media berhubung isu gangguan bekalan air akibat kebocoran paip air mentah ke Loji Rawatan Air Bukit Temoh, sejak 4 Februari lalu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 10 FEBRUARI 2025.

Sementara itu, Lokman memaklumkan berlaku pencerobohan di kawasan tersebut apabila kawasan pergerakan tanah yang berlaku adalah rizab LAP yang ditambak secara tidak sah dipercayai dilakukan pemaju kawasan perumahan berkenaan.

Katanya, tanah di kawasan itu ditimbus lebih 10 meter di atas paip air mentah dan ia disyaki membabitkan isu pencerobohan oleh pemaju. Sebab, pemaju sudah tambak tanah itu lebih daripada 10 meter sedangkan kebiasaannya paip ditanam sekitar 1.5 meter.

“Kita tidak pasti bila pemaju ini menambak tanah di situ walaupun status tanah itu sebenarnya rizab kepunyaan LAP,” katanya.

Menurutnya, susulan itu, LAP bertindak menutup paip air mentah yang bocor iaitu paip bersaiz 825mm (milimeter) dari Intake Batu 7 Sungai Woh pada 7 Februari lalu.

“Langkah tersebut diambil bagi mengurangkan kesan pergerakan tanah di kawasan terbabit, lalu menyebabkan ooerasi LRA Bukit Temoh hanya dapat beroperasi 50 peratus dari kapasiti biasa.

“Ketika ini, LAP sedang menjalankan kerja-kerja bypass aliran paip sepanjang 500 meter untuk menyambungkan paip 825mm dan 900mm tanpa melalui aliran paip yang ditanam 10 meter bawah tanah itu,” jelasnya.

Kawasan terlibat gangguan bekalan air ialah Tapah Road, Changkat Petai, Tanjung Keramat, Air Kuning, Sungai Kroh, Kampung Tersusun Air Kuning, Chenderong Kelubi, SMTD, Jalan Temoh Station, Temoh dan kawasan sekitarnya.

Turut terlibat Mukim Labu Kubong, Mukim Sungai Manik, Langkap, Chui Chak, Kampung Air Hitam, Changkat Jong, Jalan Padang Tembak, Kampung Banjar, Kampung Selabak, Kampung Bahagia, Jalan Maharajalela, Jalan Sultan Abdullah, Pekan Teluk Intan dan kawasan sekitarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Gangguan bekalan air di Teluk Intan disebabkan paip utama bocor

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI