Malaysia tidak terkesan peraturan kanak-kanak dilarang sertai haji

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak terkesan dengan peraturan baharu oleh kerajaan Arab Saudi yang tidak membenarkan kanak-kanak menyertai musim haji tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata, ini kerana Tabung Haji (TH) telah menetapkan had umur 15 tahun ke atas sahaja yang layak menunaikan ibadah haji.

“Kalau kita tengok pengumuman tersebut, larangan itu terhadap kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke bawah. Dalam konteks kita (Malaysia), memang dah tetapkan umur baligh iaitu 15 tahun.

“Dengan umur yang telah ditetapkan oleh TH tawaran (haji) iaitu menawarkan (haji) kepada jemaah haji yang layak paling kecil 15 tahun, jadi mereka ini tidak terkesan dengan peraturan baharu yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi,” katanya.

Mohd Na’im berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Biasiswa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) & Insentif Khas kepada pelajar asnaf di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di sini hari ini.

Beliau mengulas sebuah laporan media antarabangsa mengenai peraturan baharu Arab Saudi yang tidak membenarkan kanak-kanak menyertai jemaah haji ke Tanah Suci tahun ini.

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menyatakan bahawa langkah itu bertujuan melindungi kanak-kanak daripada risiko bahaya akibat kesesakan yang luar biasa setiap tahun semasa musim haji.

Mohd Na’im berkata bagaimanapun, Malaysia menghormati peraturan itu dan percaya kerajaan Arab Saudi telah melakukan kajian terperinci mengenainya.

“Peraturan itu dibuat tidak lain dan tidak bukan untuk memastikan perjalanan haji berjalan dengan baik.

“Seperti yang kita tahu musim haji itu sangat sesak, ada berjuta orang…kemungkinan tidak sesuai pada pandangan saya. Mungkin tidak sesuai untuk anak-anak dengan suhu yang begitu panas, jadi ia akan menyebabkan kesukaran,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI