IPOH – Seorang wanita yang baru menjalani pembedahan mata pada 19 Februari lalu ditemukan maut dengan kesan kelar di lengan dan leher di sebuah rumah kedai yang dijadikan pusat tuisyen di Jalan Hoover di sini, pada Sabtu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintenden Mohamad Sajidan Abdul Sukor berkata, laporan penemuan mayat guru tuisyen itu dibuat suaminya pada jam 5 petang.
Menurutnya, mayat wanita berusia 53 tahun itu berada dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah di tingkat dua rumah kedai tersebut.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas mayat wanita berusia berusia 53 tahun itu di lokasi menemui kesan kelar di lengan dan leher.
“Selain itu, kita turut menjumpai sebilah pisau lipat berhampiran mayat wanita tersebut.
“Si mati disyaki meninggal dunia kurang enam jam sebelum mayatnya dijumpai dan siasatan di lokasi tidak menemui sebarang unsur jenayah,” katanya di sini malam ini.
Beliau berkata, menerusi temubual dengan suami mangsa, wanita itu pernah menyatakan hasrat untuk membunuh diri akibat dipercayai akibat tidak mampu menahan kesakitan mata yang ditanggungnya.
Tambahnya, wanita terbabit baru menjalani pembedahan untuk mengeluarkan nanah di matanya Rabu lalu sebelum menemui suaminya buat kali terakhir keesokan hari.
“Setakat ini, pemeriksaan awal pakar forensik mendapati punca kematian wanita itu dipercayai akibat kecederaan kelar pada leher dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” jelasnya.