Khatib tidak baca teks khutbah Perak keterlaluan

IPOH – Tindakan khatib yang tidak mahu membacakan teks khutbah Jumaat disediakan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) sebelum ini disifatkan sebagai perbuatan yang keterlaluan dan tidak boleh didiamkan sama sekali.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, mendiamkan diri terhadap tindakan itu ibarat membiarkan barah menular lebih luas yang akhirnya dikhuatiri bakal menimbulkan perpecahan umat.

Titah baginda, perkara itu telah disembah maklum kepada baginda selain meminta agar masjid dan surau wajib dibersihkan daripada kegiatan orang yang tempang menyebarkan dakyah songsang.

“Khatib yang dikurniakan tauliah bertugas di mimbar, dan individu yang dikurniakan tauliah mengajar agama di masjid dan surau, diperkenankan tauliah lantikan dan mengajar oleh Raja Pemerintah setelah disembah nasihat oleh Jabatan Mufti yang berpuas hati dengan sifat dan watak serta ilmu dan pengetahuan calon-calon yang berkaitan.

“Majlis Agama Islam, Jabatan Agama Islam dan Jabatan Mufti, bersama Orang Besar Jajahan, Jawatankuasa Masjid dan Surau serta ahli kariah hendaklah melakukan pemantauan yang rapi.

“(Ia bagi) mengenal pasti pihak-pihak yang berselindung di sebalik jubah agama, berjalan tempang dan berperangai songsang,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertemakan Pemerkasaan Integrasi Antara Fiqh dengan Tasawuf di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru, dekat sini, pada Selasa.

Turut berangkat ke majlis, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa; serta Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah.

Hadir mengiringi keberangkatan baginda, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Justeru Sultan Nazrin menitahkan agar pihak berkuasa untuk melakukan siasatan secara adil dengan meneliti fakta terhadap perbuatan-perbuatan yang dilaporkan telah melanggar adab bekerja.

Baginda bertitah, apa juga ketetapan dan hasil siasatan pihak berkuasa yang diperoleh kelak perlu melalui proses rayuan sebelum dipersembahkan untuk pertimbangan sewajarnya.

Sementara itu Sultan Nazrin turut bertitah bahawa kebelakangan ini semakin diperlihatkan ketempangan dalam kalangan mereka yang merasakan diri bertaraf ilmuwan atau ulama, apabila sering menyampaikan dakyah songsang.

“Tazkirah, kuliah dan diskusi agama semakin bertukar kandungan dengan selitan bahan-bahan cercaan dan fitnah, berkecenderungan memihak atau menentang kabilah politik tertentu.

“Masjid dan surau yang dibangunkan bertujuan sebagai tempat untuk menyatupadukan ummah, semakin dijadikan gelanggang untuk menyebarkan dakyah dan fitnah,” titah baginda lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Tidak baca teks khutbah JAIPk: Empat imam digantung tugas

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI