IPOH – Polis sedang giat menjejak pemilik akaun Facebook ‘Lebai Hafiz Fahmi’ yang didakwa mengeluarkan komen jelik dan berbaur fitnah terhadap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad di laman sosial itu baru-baru ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, pihaknya akan mengambil prosedur yang sepatutnya bagi menjalankan siasatan berhubung perkara tersebut.
“Kita akan memberi penekanan kepada isu ini kerana ia melibatkan pemimpin tertinggi di negeri Perak.
“Kertas siasatan berhubung perkara tersebut telah dibuka dan usaha untuk menjejak suspek sedang giat dijalankan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah serta Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Daerah bagi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, Sungai Siput dan Tapah di Mes Pegawai Kanan Polis Perak, di sini hari ini.
Semalam, Pemuda UMNO Perak membuat laporan di Balai Polis Pekan Bharu di sini, terhadap seorang aktivis pembangkang yang didakwa mengeluarkan komen jelik dan berbaur fitnah terhadap Menteri Besar Perak di laman sosial Facebook pada 1 Februari lalu.
Ketuanya, Nazirul Jamaluddin dilaporkan berkata, hantaran itu dibuat menerusi ruangan komen pautan berita terbitan sebuah stesen televisyen swasta.
Menurutnya, aktivis terbabit didakwa telah mengeluarkan kenyataan ‘Ketua Barua Kafir Harbi’ di ruangan komen pautan berita terbitan sebuah stesen televisyen swasta yang bertajuk, ‘JAIPk (Jabatan Agama Islam Perak) diminta siasat khatib tidak baca khutbah Jumaat disediakan’ yang memaparkan gambar Menteri Besar.
Sementara itu, Noor Hisam berkata, pihaknya turut membuka kertas siasatan berhubung laporan polis yang dibuat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim.
Selasa lalu, media melaporkan Hasnul telah membuat satu laporan polis terhadap Pas Kawasan Gerik selepas dipercayai membuat tuduhan tidak berasas berkait teks khutbah disediakan JAIPk.
Hasnul Zulkarnain dilaporkan berkata, tuduhan itu jelas bersifat fitnah dan hasutan yang berbahaya kerana menyasarkan jabatan yang berada di bawah naungan Sultan Perak.
Noor Hisam berkata, kedua-dua kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pemuda UMNO Perak lapor polis susulan komen jelik MB di FB