IPOH – Kerajaan Negeri Perak tidak dimaklumkan berhubung pemberhentian laluan penerbangan AirAsia Ipoh ke Singapura menerusi Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini yang dijangka berkuat kuasa mulai April.
Exco Pelancongan, Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, pemberhentian lalu itu adalah satu perkara yang bertentangan dengan usaha kerajaan negeri merancakkan pengangkutan udara di Ipoh dan Perak.
“Kita (kerajaan negeri) tidak pernah dilibat urus atau dimaklumkan sebelum pengumuman oleh Air Asia untuk pemberhentian laluan Ipoh-Singapura.
“Mengikut data yang diperolehi, laluan Ipoh-Singapura sememangnya mendapat sambutan yang baik selama ini.
“Dikhuatiri, perkara tersebut akan memberi impak yang kurang baik kepada Ipoh dan Perak secara keseluruhan dalam pelancongan, pelaburan serta industri,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa menyokong dan memberi kerjasama untuk melancarkan serta memudahkan pengurusan operasi penerbangan domestik dan antarabangsa.
“Pada masa ini kerja-kerja menaik taraf LTSAS yang sedang dilaksanakan adalah merupakan salah satu inisiatif kerajaan negeri dan Persekutuan untuk menambahbaik dan meningkatkan fasiliti bagi mengoptimumkan perkhidmatan penerbangan.
“Justeru kami berharap Air Asia dapat mempertimbangkan penyambungan semula operasi penerbangan laluan tersebut,” ujarnya.
Beliau turut berharap perkara itu cuma pendekatan sementara bagi penyusunan semula strategi syarikat bagi destinasi baru.
Terdahulu, Air Asia memaklumkan pemberhentian beberapa laluan penerbangan termasuk Ipoh-Singapura menerusi platform Instagram hari ini dan ia dijangka akan dilaksanakan secara berperingkat. – MG Perak
Artikel Berkaitan: