TAPAH – Kerajaan Negeri Perak membelanjakan RM1.35 juta bagi pemberian khas bantuan kelengkapan Hari Raya Aidilfitri yang disalurkan kepada 9,000 penerima di seluruh negeri, tahun ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, peruntukan disalurkan kepada semua 59 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan setiap seorang menerima insentif berjumlah RM150.
Katanya, selain golongan kurang berkemampuan, pemberian bantuan khas Hari Raya itu juga disalurkan kepada penerima dalam golongan warga emas.
Menurut beliau, melalui inisiatif berkenaan mereka yang memerlukan berpeluang untuk mendapatkan persalinan Aidilfitri mengikut keperluan dan citarasa di kedai-kedai menjual pakaian terpilih.
“Di 33 kawasan DUN yang diwakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerajaan, mereka akan menyampaikan sendiri bantuan berkenaan kepada penerima.
“Sementara di kawasan DUN Pembangkang, 26 Pegawai Khas Kepada Menteri Besar Perak akan melakukan penyerahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Meriah Beraya Sejahtera Bersama di Dewan Kampung Dato Kamaruddin, Bidor, dekat sini, pada Ahad.
Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed.
Pada majlis, Saarani menyampaikan insentif Hari Raya Aidilfitri RM150 kepada setiap 150 orang penerima di kawasan DUN Ayer Kuning.
Dalam pada itu Saarani berkata, pihaknya bersedia untuk melihat kepada sebarang keperluan berbangkit sekiranya ada cadangan untuk menaikkan jumlah peruntukan pada masa akan datang.
“Program ini merupakan tahun ketiga di masa pada awalnya, hanya melibatkan insentif RM120 setiap seorang, sebelum ditambah kepada RM150 ketika ini,” katanya lagi.
Sementara itu, salah seorang penerima, Normarziana Abd Manap, 41, menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri melalui pemberian khas bantuan Hari Raya Aidilfitri.
Ibu tunggal kepada enam cahaya mata itu berkata, bantuan baucar RM150 yang diterima sedikit sebanyak memberi sinar keceriaan kepada keluarganya dalam menyambut Syawal tahun ini.
“Saya menjual kuih-muih untuk menyara keluarga dengan pendapatan bulanan RM1,500. Sememangnya bantuan yang diterima dapat meringankan beban kami untuk beraya.
“Pernah juga beberapa tahun kami tidak ada persalinan Hari Raya yang baru. Tetapi tahun ini, kami merasa pula membeli pakaian baru,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: