218 Tahun: Pengorbanan Sang Saka Biru pelihara keselamatan negara terus dihargai

KUALA LUMPUR – Genap 218 tahun hari ini, pengorbanan dan sumbangan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memelihara keselamatan serta ketenteraman negara terus menjadi sanjungan masyarakat sejajar dengan slogannya “Sedia Berkhidmat”.

Mengekalkan tema ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’, Hari Polis ke-218 yang disambut serentak di seluruh negara bagi menghargai pengorbanan Sang Saka Biru, meriah dengan pelbagai pengisian seperti perbarisan, penyampaian surat penghargaan dan persembahan khas.

Di ibu negara, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri sambutan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), di sini, yang turut diisi dengan tayangan khas ‘Tolak Rasuah’ dan persembahan sajak ‘Nafas Perjuangan’ oleh Insp Nik Mustakim Nek Musa, Insp Adi Saufi Majid dan Sub Insp Yusuf Ramji.

Turut hadir, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan timbalannya Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Di PERAK, Perhimpunan Peringatan Hari Polis ke-218 peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri diadakan di Dewan Serbaguna Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Perak DCP Zulkafli Sariaat.

Pada acara menghimpunkan 286 anggota kontinjen itu, Zulkafli menyampaikan surat penghargaan kepada pegawai dan anggota serta rakan strategik yang sentiasa menyumbang dan memberi komitmen kepada PDRM Perak.

Di NEGERI SEMBILAN, Timbalan Ketua Polis negeri SAC Muhammad Idzam Jaafar menyampaikan sijil penghargaan kepada 20 pegawai dan anggota yang menunjukkan kecemerlangan dalam perkhidmatan.

Selain itu, 33 individu terdiri daripada wakil badan bukan kerajaan (NGO), tokoh korporat, orang awam, syarikat swasta dan media turut menerima penghargaan atas kerjasama mereka dengan pihak penguat kuasa.

Sementara di PAHANG, sebanyak 350 pegawai dan anggota serta penjawat awam menghadiri Perhimpunan Peringatan Hari Polis Ke-218 Peringkat Kontinjen Pahang yang diadakan di Dewan Badminton, Kompleks Logistik, Alor Akar, Kuantan.

Pemangku Timbalan Ketua Polis Pahang SAC Datuk Mohd Yusri Othman mewakili Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman menyampaikan sijil penghargaan kepada 18 pegawai dan anggota yang mempamerkan prestasi cemerlang dalam perkhidmatan serta dua warga Persatuan Keluarga Polis (PERKEP).

Sementara itu, di KELANTAN, Timbalan Ketua Polis negeri DCP Mohd Ali Tamby membacakan perutusan Ketua Polis Negara sempena sambutan peringkat negeri yang diadakan di Dewan Dato’ Dr Ab Rahman, IPK Kelantan.

Kira-kira 200 pegawai dan anggota polis serta penjawat awam yang berkhidmat di negeri itu berhimpun bagi mendengar perutusan berkenaan.

Jualan Rahmah oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Kelantan turut berlangsung di IPK Kelantan.

Di PERLIS, sambutan Hari Polis ke-218 peringkat negeri disempurnakan Timbalan Ketua Polis negeri SAC Baderulhisham Baharudin pada majlis yang berlangsung di IPK Perlis, Kangar.

Pada majlis itu, 30 individu menerima sijil penghargaan daripada PDRM Perlis bagi menghargai jasa dan kerjasama mereka dalam memelihara keselamatan serta ketenteraman awam.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI