Digantung DUN: ‘Ini kesempatan saya bantu kempen PN di Ayer Kuning’ – Razman

IPOH – Ketua Pembangkang, Razman Zakaria akan menggunakan ‘kesempatan’ digantung selama enam bulan daripada menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak untuk membantu calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol itu berkata, beliau akan sepenuh masa membantu gerak kerja Abd Muhaimin Malek pada sepanjang tempoh berkempen pada PRK berkenaan.

“Ini kesempatan Allah SWT bagi, dan sekarang ini PRK DUN Ayer kuning. Jadi (saya) boleh penuh masa bantu (gerak kerja kempen calon) di sana. Dan nak menceritakan kepada rakyat di sana (tentang hal ehwal semasa).

“Saya mahu pengundi di sana dapat mengangkat pembuat undang-undang yang akan tidak melanggar perundangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media bersempena dengan Mesyuarat Pertama, Tahun Ketiga Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Rabu.

Terdahulu DUN Perak meluluskan usul penggantungan Razman daripada menghadiri persidangan selama enam bulan, berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan itu dibuat Speaker DUN, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid selepas usul syor penyata Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri terhadap Razman dibawa Ong Boon Piow (PH-Bercham) dipersetujui. Syor itu susulan persidangan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri yang berlangsung pada 14 April lalu.

Dalam pada itu beliau berkata, keputusan penggantungan beliau daripada menghadiri persidangan DUN itu tidak akan memberi kesan kepada gerak kerja kempen calon PN pada PRK DUN Ayer Kuning.

Mengulas lanjut Razman memberitahu, beliau akur dengan keputusan itu walaupun menyifatkan ia sebagai suatu tindakan kepincangan.

“Saya akur dengan keputusan itu walaupun dengan rasa tidak puas hati,” kata beliau lagi.

Sementara itu dalam sidang media sama, ADUN Changkat Jong, Nadziruddin Mohamed Bandi, mendakwa keanggotaan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri seperti berat sebelah apabila pembangkang hanya terdiri daripada tiga wakil berbanding kerajaan lima.

“Perkara ini hanya membaitkan persepsi. Apabila keputusan penggantungan Razman itu dipersetujui wakil kerajaan, apa yang boleh kami buat?

“Walau macam mana pun kita lawan, dan kalau itulah keputusan yang mereka hendak bawa, maka mereka akan menang dalam jawatankuasa ini,” katanya yang juga Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Perak. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

DUN Perak: Razman digantung enam bulan serta-merta

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI