IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perak, pada Jumaat.
Turut berangkat ke majlis yang diadakan di Padang Kawad Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Unit 5, Sungai Senam, dekat sini adalah Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Di Hilir, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah serta Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain; Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin serta kepimpinan negeri.
Pada majlis yang dihadiri 3,000 orang itu, Sultan Nazrin, Tuanku Zara dan tetamu yang lain turut dipersembahkan dengan persembahan kebudayaan dan nyanyian.
Selain itu, baginda berdua juga berkenan menyampaikan sumbangan duit raya kepada 50 anak yatim kepada anggota dan pegawai Polis Perak.
Sultan Nazrin dan Tuanku Zara kemudian berkenan berangkat melawat 20 gerai makanan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) serta PSP Unit 5, Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh, Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.
Setiap gerai dihiasi dengan pelbagai dekorasi menarik serta menyajikan juada berbeza antaranya laksa, apam balik, mi udang, daging kambing bakar, aneka minuman, kuih-muih dan sebagainya.
Sebelum berangkat, baginda berdua dipersembahkan dengan persembahan bunga api sekitar seminit sebagai gimik penutup majlis. – MG Perak
Artikel Berkaitan: