‘Tok wan saya dari China, kenapa kata kita rasis?’ – Sanusi

TAPAH – Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, menangkis dakwaan yang sering mengaitkan gabungan itu sebagai parti yang membawa naratif berbaur perkauman.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS itu berkata, sebaliknya PN sentiasa mengambil pendekatan menyantuni masyarakat pelbagai kaum termasuk dalam pelbagai siri kempen pilihan raya kecil (PRK).

Menurut Muhammad Sanusi, secara peribadi semangat keharmonian telah sebati dalam dirinya apabila beliau sendiri mempunyai susur galur keturunan masyarakat Cina yang berhijrah ke sini daripada Tanah Besar China suatu masa dahulu.

“Tok wan (datuk) sebelah ayah saya datang sendiri ke sini, dia juga berasal dari Tanah Besar China. Dia kemudian berkahwin dengan tok (nenek) saya yang berbangsa Melayu.

“Akhirnya, lahirlah cucu-cucu yang membesar. Tok wan saya menetap di perkampungan Melayu dan hidup dengan aman dan damai selepas berkahwin dengan wanita Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Grand Finale PN PRK Ayer Kuning di Taman Golf Bidor, dekat sini, malam tadi.

Hadir sama, Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), Dr Dominic Lau Hoe Chai; Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) serta calon PN PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Abd Muhaimin Malek.

Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah menambah, suasana berkawan dengan masyarakat pelbagai kaum juga menjadikan beliau seorang yang amat menghormati prinsip kemajmukan rakyat.

“Saya berkawan dengan orang Cina, saya berkawan dengan orang India. Tok Wan saya (berdarah) Cina. mengapa pula dikatakan kita ini ‘rasis’ (perkauman),” katanya lagi.

Beliau mendakwa, sebaliknya isu membabitkan hal perkauman sama ada yang sudah atau sedang berlaku dalam negara ketika ini adalah daripada parti DAP.

“Kita bukan ‘rasis’, kita cuma cakap berterus terang. Dan yang meniupkan api perkauman dalam negara bukan PN, PAS atau BERSATU, sebaliknya yang meniupkannya adalah DAP. Oleh itu, perlu kita kalahkan DAP,” dakwanya.

Sebelum ini media melaporkan Abd Muhaimin memberitahu beliau mempunyai darah keturunan daripada masyarakat Cina pada sebelah ibunya.

Kata Abd Muhaimin, beliau mempunyai 80 peratus darah berketurunan cina sementara 20 peratus Minangkabau. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Calon PN umum lima tawaran ‘TEKAD Muhaimin Untuk Rakyat’

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI