TELUK INTAN – Tiga jenazah anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Chikus-Sungai Lampam dekat sini pagi tadi diusung keluar menaiki van keluar daripada Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan (HTI) pada jam 10.22 malam.
Jenazah Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28; Koperal Mohamad Hilmi Mohd Azlan, 38, dan Koperal Mohd Pozli Jaudin, 41, disusuli empat yang lain kemudiannya dibawa ke Surau Ar-Rahman Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak untuk disolatkan.
Kemudian, kesemua sembilan jenazah akan dibawa ke Markas Unit 5 FRU Sungai Senam untuk diberi penghormatan terakhir mengikut istiadat rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Difahamkan, jenazah Akmal Wafi akan dikebumikan di Masjid Tuanku Abdul Rahman Putra, Kulim manakala Mohamad Hilmi di Masjid Simpang, Taiping dan Mohd Pozli di Kampung Pantai Besar dekat Batu Kurau.
Jenazah Sarjan Mohd Roslan Abd Rahim, 46, dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Meru Raya, Ipoh.
Dalam pada itu, jenazah Koperal Amiruddin Zabri, 38, akan dikebumi di Kampung Sungai Itik dekat Gopeng; Koperal Muhamad Akmal Muhamad, 35, di Kampung Parit Teluk Pial, Kuala Kurau dan Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, 33, Tanah Perkuburan Islam Kampung Kepayang, Ipoh.
Sementara itu, jasad mendiang Sarjan S Perumal akan dibawa ke Krematorium Buntong manakala Koperal Nurit Pandak dibawa ke Kampung Orang Asli Bukit Terang, Kampar.
Dalam kejadian sekitar jam 8.51 pagi itu, sebuah lori muatan batu kerikil dipercayai mengalami kegagalan fungsi stereng sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh trak FRU yang membawa 18 anggota.
Lapan anggota disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi iaitu pemandu trak FRU meninggal dunia sewaktu menerima rawatan di HTI. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Nahas FRU: Pemandu lori muatan batu ada enam rekod lampau termasuk narkotik