Nahas FRU: KDN sedia kaunselor beri sokongan emosi pada waris

IPOH – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyediakan pasukan kaunselor khusus bagi memberikan sokongan emosi dan kaunseling kepada waris mangsa anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terlibat dalam nahas di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, semalam.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, bahawa dalam tempoh yang sukar ini, ahli keluarga dan waris pasti masih merasa terkejut serta trauma dengan insiden tersebut.

“Kita tak boleh underestimate (memandang rendah) kejutan yang mereka alami. Baru semalam orang yang mereka sayangi itu ada bersama mereka, tiba-tiba hari ini tak ada, jadi, khidmat kaunselor ini kita perlukan,“ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menziarahi isteri, Haswati Rosdi, 44, dan keluarga Allahyarham Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif di Kuarters Unit 5 FRU Sungai Senam, di sini hari ini.

Nahas FRU: KDN sedia pasukan kaunselor beri sokongan emosi pada waris
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berdoa ketika menziarahi isteri Haswati Rosdi, 44, dan keluarga anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Allahyarham Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif yang terlibat dalam nahas semalam di Kuarters Unit 5 FRU Sungai Senam, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 14 MEI 2025.

Mengulas mengenai tahap keselamatan trak yang digunakan anggota FRU, Saifuddin memaklumkan, kenderaan tersebut mempunyai rekod penyelenggaraan yang baik walaupun telah digunakan sejak 1997.

“Rekod penyelenggaraannya tak ada masalah. Maksudnya masih lagi roadworthy (layak dipandu),” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa segala perkara yang berkaitan dengan kemalangan tersebut diserahkan kepada pasukan siasatan.

“Insiden semalam terlalu awal untuk kita predict (jangka) sama ada kemalangan itu human error (kesilapan manusia) yang membabitkan pemandu lori pasir dan sebagainya. Itu biar pasukan siasatan (jalankan),” ujarnya.

Saifuddin turut menegaskan KDN komited untuk menambah baik semua aset agensi penguat kuasa di bawah Kementerian tersebut.

Dalam kejadian jam 8.50 pagi Selasa, sebuah trak FRU yang membawa 18 anggota dari Unit 5 berpangkalan di Sungai Senam, Ipoh, terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori membawa muatan batu semasa perjalanan pulang selepas tamat tugas sempena perayaan Chitrapournami di sini.

Kemalangan tersebut mengakibatkan sembilan anggota FRU maut, dua parah manakala tujuh lagi cedera. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Nahas FRU: Waris akan terima bantuan PDRM antara RM58,000 hingga RM269,000

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI