TELUK INTAN – Hampir 2,000 pokok pokok ketum dimusnahkan dalam operasi bersepadu membabitkan pelbagai agensi di kawasan seluas 8.09 hektar di Labu Kubong, dekat sini, pada Khamis.
Operasi yang diketuai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak itu turut disertai antaranya Pejabat Tanah dan Galian, Majlis Perbandaran Teluk Intan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta Jabatan Kerja Raya.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, dalam operasi berkenaan kesemua pokok ditebang, diracun serta dicabut menggunakan jengkaut.
“Ini merupakan fasa pertama yang kita lancarkan dengan ia selaras dengan peruntukan di bawah Kanun Tanah Negara.
“Jadi kita sedang memperhalusi bidang kuasa dengan semua pemegang taruh untuk ke fasa seterusnya bagi mengambil tindakan kepada pihak yang menanam ketum di kawasan persendirian masing-masing,”
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Ops Khas Ketum Hilir Perak di sebuah kawasan berhampiran ladang sawit di Labu Kubong, dekat sini, pada Khamis.
Menurut Bakri, sepanjang tahun lalu seramai 76 individu telah ditangkap dengan 31 kertas pendakwaan dibuka membabitkan rampasan 117.28 liter air ketum dan 79 kilogram (kg) daun ketum.
Kata beliau, manakala bagi tempoh Januari sehingga April lalu, seramai 25 individu telah ditahan dengan tujuh kertas pendakwaan dibuka melibatkan rampasan 147.5 liter air ketum serta 24 kg daun ketum.
Tambah Bakri lagi, sabitan tertinggi yang direkodkan di Mahkamah Majistret Teluk Intan adalah denda sebanyak RM50,000.
“Hasil maklumat yang kita terima kawasan Hilir Perak ini merupakan antara hab pembekalan daun ketum yang terbesar.
“Selain itu kita peraya ia didalangi oleh sindiket tertentu yang menanam, memproses dan memasarkan daun ketum di seluruh negara,” ujar beliau. – MG Perak
Artikel Berkaitan: