Bumbung terbang, siling runtuh akibat ribut

IPOH – Seorang warga emas berdepan detik cemas apabila mendengar dentuman guruh beberapa kali sebelum bumbung dapur rumahnya diterbangkan angin dalam kejadian ribut yang berlaku di Gugusan Manjoi, di sini selepas solat Asar semalam.

Mangsa, Aishah Mohd Nor, 75, berkata ketika kejadian, dia bersama suami, cucu dan cicit berada di rumah anaknya yang terletak bersebelahan rumah mereka.

“Saya dengar bunyi (guruh) dentum-dentum atas bumbung, kemudian hujan turun lebat. Lepas itu makin kuat bunyinya.

“Kemudian, saya keluar tengok, ya Allah, atap dapur habis barang diterbangkan angin,” katanya ketika ditemui di Kampung Dato Ahmad Said, di sini pada Ahad.

Menurutnya, ini adalah kali pertama rumahnya yang didiami sejak tahun 1970-an mengalami kerosakan teruk akibat ribut.

Bumbung terbang, siling runtuh akibat ribut
Penduduk, Aishah Mohd Nor, 75, menceritakan kembali saat rumahnya mengalami kerosakan susulan kejadian hujan lebat dan angin kencang yang melanda Kampung Dato Ahmad Said, Gugusan Manjoi, Ipoh, pada Sabtu lalu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 18 MEI 2025.

“Dapur habis, atap habis, siling pun roboh. Tapi alhamdulillah, tiada sesiapa yang cedera. Kami masih tinggal di bahagian rumah yang selamat,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan laporan polis telah dibuat oleh cucunya pada hari kejadian dan anak-anaknya turut pulang dari Johor dan Kuala Lumpur sebaik dimaklumkan mengenai insiden tersebut.

Aishah berkata, ketika kejadian, tiada pokok tumbang kerana semua pokok di sekitar rumah telah ditebang sebelum ini, namun kekuatan angin cukup untuk menerbangkan atap sehingga ada yang hilang entah ke mana.

“Anggaran kerugian belum dapat dipastikan sepenuhnya kerana beberapa barangan seperti peti sejuk dan peralatan dapur belum diperiksa,“ ujarnya.

Bumbung terbang, siling runtuh akibat ribut
Penduduk, Esah Mohd Hashim, 74, menceritakan kembali saat rumahnya mengalami kerosakan susulan kejadian hujan lebat dan angin kencang yang melanda Kampung Dato Ahmad Said Tambahan II, Gugusan Manjoi, Ipoh, pada Sabtu lalu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 18 MEI 2025.

Seorang lagi penduduk, Esah Mohd Hashim, 74, berkata, bumbung di tingkat atas rumah didiaminya turut diterbangkan angin sehingga terkena gerai bertentangan dengan rumah dalam kejadian ribut petang semalam.

Katanya, siling di tingkat atas rumahnya juga runtuh dan hampir menimpa dirinya yang pada ketika itu berdiri di ruang tengah rumah.

“Makcik berdiri dekat hall (ruang) tengah, tiba-tiba atap kena tolak angin kuat dan terus senyap. Selepas itu siling jatuh keliling makcik. Allah selamatkan makcik, syukur tak kena apa-apa,” jelasnya sewaktu ditemui di Kampung Dato Ahmad Said Tambahan II.

Bumbung terbang, siling runtuh akibat ribut
Antara kerosakan yang dialami oleh penduduk kampung susulan kejadian hujan lebat dan angin kencang yang melanda Kampung Dato Ahmad Said, Gugusan Manjoi, Ipoh, pada Sabtu lalu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 18 MEI 2025.

Tambahnya, anaknya yang berada dalam bilik ketika kejadian turut tergamam dan berdiri kaku selepas dipanggil beberapa kali.

“Saya buka pintu bilik, dia macam tak bergerak. Saya ajar dia mengucap. Kalau Allah nak ambil masa itu, mungkin itu jalannya,” katanya yang kini menumpang buat sementara waktu di rumah anak ketiga yang terletak berhampiran.

Bumbung terbang, siling runtuh akibat ribut
Antara kerosakan yang dialami oleh penduduk kampung susulan kejadian hujan lebat dan angin kencang yang melanda Kampung Dato Ahmad Said, Gugusan Manjoi, Ipoh, pada Sabtu lalu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 18 MEI 2025.

Semalam Malaysia Gazette (MG) Perak melaporkan dianggarkan sekitar 50 buah rumah mengalami kerosakan susulan kejadian hujan lebat dan angin kencang yang melanda Gugusan Manjoi pada petang Sabtu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Mohd Hafez Sabri dilaporkan berkata, antara kawasan yang terjejas termasuklah Kampung Dato Ahmad Said, Kampung Dato Ahmad Said Tambahan II, Kampung Dato Ahmad Said 3, Kampung Sungai Tapah, Kampung Sungai Kati, lorong dan jalan di sekitar kawasan tersebut. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Dianggarkan 50 rumah terjejas akibat ribut di Gugusan Manjoi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI