JPN perkasa pendigitalan, rasmi pejabat baharu di LMS

TAIPING – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah melaksanakan pelbagai inisiatif pendigitalan, termasuk penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) dan MyDigital ID, dalam usaha menambah baik perkhidmatan mereka.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, pada asalnya, pendaftaran dokumen diri dilaksanakan secara manual, namun kini ia telah beralih kepada sistem digital yang lebih mudah dan efisien untuk orang ramai.

“Selaku peneraju kepada pengurusan rekod kependudukan negara, JPN menggalas tanggungjawab sebagai agensi rujukan utama negara dalam pengurusan rekod pengenalan diri melalui transformasi digital.

“Pelaksanaan perkhidmatan melalui sistem digital yang memudahkan pelanggan serta memendekkan tempoh proses,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian bangunan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Daerah Larut Matang dan Selama (LMS) di Simpang dekat sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Shamsul Anuar berkata, pejabat tersebut adalah salah satu daripada 20 pejabat yang beroperasi di negeri Perak.

Menurutnya, pejabat itu adalah gabungan pejabat asal yang beroperasi di bangunan Wisma Persekutuan Taiping sejak tahun 1986 dan juga pejabat JPN Cawangan Kamunting yang beroperasi sejak tahun 2004 di mukim Kamunting.

“Kedua-dua pejabat tersebut telah melalui proses rasionalisasi dan digabungkan menjadi pejabat yang ada pada hari ini.

“Usaha penambahbaikan oleh kerajaan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan kualiti perkhidmatan yang disampaikan adalah selaras dengan pertambahan jumlah penduduk di daerah ini.

“Berikutan itu, bangunan pejabat dengan seni bina yang menarik dan berimej korporat didirikan di kawasan seluas 4.04 hektar bagi memberi kemudahan dan infrastuktur yang lebih baik untuk rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata, bangunan bernilai RM10.5 juta ini dibina melalui peruntukan Rolling Plan keempat Rancangan Malaysia ke-11.

“Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2024, jumlah penduduk bagi kawasan Daerah Larut Matang dan Selama telah meningkat 14 peratus iaitu sebanyak 313,400 orang berbanding 269,600 pada tahun 2020.

“Maka dengan itu, pelan perancangan di antara pihak kementerian bersama-sama dengan kerjasama rakan strategik bagi penyediaan pejabat yang kondusif untuk pelanggan telah disediakan,” jelasnya.

Tambahnya, hasil daripada perancangan dan gerak kerja yang dilaksanakan, projek pembinaan pejabat ini dimulakan pada 2 September 2021 dan telah siap sepenuhnya pada 22 April 2024.

“Pada 21 Mei 2024, Jabatan Kerja Raya Negeri Perak menyerahkan bangunan tersebut kepada JPN dan ia mula beroperasi pada 4 Jun 2024.

“Lokasi yang dipilih adalah sangat strategik kerana berhampiran dengan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) serta faktor geografi dan kawasan tanah yang luas serta pejabat yang lebih kondusif.

Ujar beliau, JPN Daerah LMS telah menerima sebanyak 69,740 permohonan pada tahun lalu berbanding hanya 41,804 pada 2023.

“Peningkatan sebanyak 40 peratus ini membuktikan bahawa perancangan JPN menambah baik fasiliti untuk keselesaan rakyat adalah sebagai langkah yang tepat dalam menyampaikan perkhidmatan yang cekap dan efisien,” katanya lagi. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Sultan Perak berkenan rasmi JPN Daerah Larut Matang dan Selama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI