Nahas FRU: Empat anggota dirawat di ICU, keadaan stabil

TELUK INTAN – Empat anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terlibat dalam nahas jalan raya di sini, 13 Mei lalu, masih menerima rawatan rapi di hospital.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, tiga daripada mereka dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Teluk Intan (HTI), manakala seorang lagi di ICU Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

“Doktor memaklumkan terdapat perkembangan positif setakat ini, apabila kesemua mereka yang sedang dirawat di ICU berada dalam keadaan stabil dan bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

“Ada antara mereka yang sebelum ini tidak sedarkan diri juga sudah menunjukkan tanda sedar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, dekat sini, pada Khamis.

Anggota yang dirawat di ICU HTI ialah Koperal Haslizal Mohd Ali, 44; Sarjan Mazlan Mat, 50; dan Koperal Mohd Izwan Ishak, 39.

Sementara itu, Koperal Syed Isfan Syed Mohammad, 32, menerima rawatan di ICU HRPB.

Seorang lagi mangsa, Sarjan Mohd Parih Ali, 44, yang sebelum ini turut dirawat di ICU HTI, telah dibenarkan keluar hospital pada jam 6.30 petang semalam.

Menurut Bakri, kebanyakan anggota terbabit mengalami kecederaan dalaman yang serius akibat hentakan dan himpitan semasa insiden berlaku.

“Akibat himpitan (antara sesama sendiri dan juga barangan dalam trak), kemungkinan berlaku kerosakan pada organ dalaman.

“Justeru, proses pemulihan mereka dijangka mengambil masa yang agak panjang,” jelasnya.

Tambah beliau, pihak IPD Hilir Perak sentiasa memastikan aspek kebajikan serta sokongan moral kepada mangsa dan waris, khususnya yang masih berada di hospital, sentiasa diberi perhatian.

“Setakat ini, pelbagai pihak termasuk masyarakat awam telah tampil memberikan pelbagai bentuk sokongan dan sumbangan kepada mangsa serta keluarga,” ujarnya.

Menurut beliau, sumbangan kewangan turut diterima daripada masjid, tokong dan kuil untuk disalurkan kepada mangsa yang terlibat.

“Malah, beberapa masjid di sekitar Hilir Perak turut mengadakan solat sunat dan bacaan Yasin sebagai solidariti kepada mangsa yang sedang dirawat dan yang telah terkorban.

“Tragedi ini jelas menyentuh hati seluruh masyarakat Hilir Perak yang turut merasai kesedihan ditanggung keluarga mangsa,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.50 pagi, 13 Mei lalu, sembilan anggota FRU maut manakala sembilan lagi cedera selepas trak dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Jalan Chikus–Sungai Lampam.

Ketika kejadian, kesemua mereka dalam perjalanan pulang ke pangkalan di Sungai Senam, Ipoh selepas selesai menjalankan tugasan sempena sambutan Chitirai Pournami di Teluk Intan.

Sementara itu, seramai 75 individu termasuk 35 petugas media di Perak menerima Sijil Penghargaan Khas atas sumbangan masing-masing dalam membantu tugas kepolisan. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Nahas FRU: ‘Babah sudah dekat syurga’

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI