LHDN tumpu warga asing dalam Op Kinta

IPOH – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) memberi tumpuan khusus terhadap pematuhan cukai dalam kalangan warga asing menerusi pelaksanaan siri ketujuh Operasi Pematuhan 2025 atau dikenali sebagai Op Kinta.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) LHDN, Khairul Halimin Abdul Halim berkata, operasi yang akan dilaksanakan di seluruh Perak itu berlangsung selama empat hari sehingga 30 Mei ini.

Menurutnya, operasi itu antara strategi penting untuk menangani ekonomi bayangan yang memberi impak kepada kutipan hasil negara.

“Melalui pendekatan ini, LHDN bukan sahaja menyasarkan tindakan penguatkuasaan, malah turut menjalankan verifikasi pembayar cukai tidak aktif secara menyeluruh bagi memastikan tiada pihak yang terlepas daripada tanggungjawab cukai mereka.

“Berdasarkan tinjauan awal, sebanyak 80 kes telah dikenal pasti melibatkan operasi perniagaan yang dikendalikan oleh warga asing terdiri daripada warga Thailand, Bangladesh, Pakistan dan Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Khairul Halimin berkata, operasi tersebut melibatkan seramai 227 pegawai LHDN dan menyasarkan 676 kes di beberapa lokasi tumpuan ekonomi sekitar negeri ini.

“Fokus utama OP Kinta dibahagikan kepada lima sektor berisiko tinggi yang dikenal pasti berpotensi menyumbang kepada ketirisan hasil negara iaitu sektor pembinaan, hartanah, pembuatan, ekonomi bayangan dan pertanian.

“Lima aktiviti utama yang menjadi tumpuan operasi ini merangkumi audit cukai dan majikan, pematuhan strategik, verifikasi pembayar cukai, pungutan serta tindakan penguatkuasaan undang-undang.

“Seiring usaha mendepani arus pendigitalan sistem percukaian negara, OP Kinta turut dimanfaatkan dengan memberi penerangan secara langsung kepada pembayar cukai berkenaan pelaksanaan e-Invois.

“Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan kefahaman dan tahap kesediaan pembayar cukai terhadap sistem digital baharu, malah menyokong peralihan sistemik ke arah persekitaran percukaian yang lebih efisien, telus dan responsif,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Sultan Nazrin rasmi Menara LHDN Teluk Intan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI