MPM siasat dakwaan pengunjung diganggu di pantai Teluk Senangin

IPOH – Majlis Perbandaran Manjung (MPM) akan menjalankan siasatan lanjut  dakwaan pengunjung diganggu individu tertentu ketika berkelah di pantai Teluk Senangin, Lumut, sebagaimana dalam video tular di media sosial.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Sandrea Ng Shy Ching berkata, kawasan pantai di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) bebas untuk dikunjungi orang awam tanpa sebarang bayaran.

“Saya difahamkan pihak MPM sedang menyiasat dakwaan tersebut sama ada benar terdapat caj tertentu dikenakan.

“Kebiasaannya di kawasan selaian PBT, kita tidak melantik pihak ketiga untuk mengutip apa-apa bayaran. Kita bimbang ada pihak yang cuba mengambil kesempatan,” katanya kepada pemberita, di sini, pada Rabu.

Dalam pada itu, MPM mengulangi kenyataan bahawa tiada sebarang caj boleh dikenakan di pantai Teluk Senangin, Lumut.

Menerusi perkongsian semula di Facebook, MPM memaklumkan pantai Teluk Senangin merupakan pantai peranginan yang terbuka untuk orang awam.

“Sehubungan dengan itu, kami ingin menegaskan bahawa pihak MPM tidak mengenakan apa-apa caj untuk pengunjung yang ingin bersantai, caj tapak perkelahan, membentang tikar dan sebagainya.

“Pantai Teluk Senangin adalah hak milik awam dan harus dinikmati oleh semua tanpa sebarang bayaran tambahan,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Menurutnya, orang ramai boleh membuat aduan kepada MPM jika terdapat mana-mana pihak yang mengenakan sebarang caj kepada pengunjung.

Jelas kenyataan tersebut, aduan boleh dibuat melalui talian Hotline Aduan iaitu 05-6898833, WhatsApp Aduan kepada nombor 019-303 5800 atau e-mel Aduan iaitu aduan@mpm.gov.my.

Terdahulu tular di media sosial video berdurasi 26 saat memaparkan kejadian pengunjung di Teluk Senangin didakwa diganggu individu tertentu.

Pemilik video itu mendakwa lelaki terbabit tidak membenarkan sebarang kerusi dan pelampung yang diletakkan sebaliknya diminta menyewa meja dan kerusi bagi menggunakan kawasan di bawah pokok.

“Tiba-tiba kena marah dengan pak cik (pakai) baju hitam dengan topi tu. Dia kata ini kawasan dia, dia jaga.

“Jadi kami fikir mungkin kena sewa kerusi atau meja dia. Kami sewa meja RM10 satu, walaupun kami memang bawa kerusi,” tulisnya menerusi video berkenaan. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Tiada caj dikenakan kepada pengunjung di pantai Teluk Senangin – MPM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI