IPOH – Sebuah kilang pembungkusan minyak masak di Kawasan Perindustrian Ringan, Jelapang, di sini, diserbu setelah disyaki menggunakan sijil halal tidak sah bagi tujuan perdagangan.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan dijalankan oleh sepasukan Pegawai dan anggota Penguat Kuasa KPDN Perak sekitar jam 2.30 petang pada Rabu.
Menurut beliau, operasi serbuan ke atas kilang pembungkusan minyak masak itu telah dijalankan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).
Beliau berkata, hasil serbuan mendapati kilang tersebut sedang menjalankan aktiviti pembungkusan minyak masak serta menggunakan logo halal pada bungkusan produk berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut terhadap pemilik kilang mendapati bahawa sijil halal yang dimiliki
telah digantung disebabkan pelanggaran syarat pensijilan halal.
“Sehubungan itu, satu tindakan kes telah diambil di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan sebanyak 5,540 kg minyak masak peket yang menggunakan logo halal tidak sah telah disita,” katanya dalam satu kenyataan.
Kamalludin berkata, nilai keseluruhan barang rampasan dianggarkan berjumlah RM14,233.
Tambah beliau, seorang lelaki tempatan berumur 33 tahun, yang mengaku sebagai pengurus syarikat telah diambil keterangan.
“Kes disiasat kerana melanggar Perenggan 4(1) Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] dan menjadi kesalahan di bawah Perenggan 8(a), Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 iaitu kesalahan memperaku mana-mana makanan itu adalah halal.
“KPDN memandang serius peniaga yang menggunakan perakuan dan penandaan halal ke atas produk makanan atau barangan keluaran yang melanggar undangundang mengikut Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.
Kamalludin juga menyarakan orang ramai agar menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa untuk menyalurkan maklumat-maklumat berhubung produk makanan yang dicurigai status penandaan logo halal. -MG Perak