IPOH – Kerajaan Negeri Perak menyampaikan sumbangan berjumlah RM45,000 untuk diagihkan kepada sembilan waris anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam nahas tragis di Teluk Intan, pada 13 Mei lalu.
Sumbangan itu disampaikan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak, Khairudin Abu Hanipah yang mewakili Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad kepada Pemangku Pegawai Pemerintah PSP Unit 5, Deputi Superintenden Muhamad Amin Mat Yassin di Markas Unit 5 FRU Sungai Senam, pada Jumaat.
“Hari ini, saya mewakili Menteri Besar serta Kerajaan Negeri Perak menyalurkan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada kepada setiap waris mangsa yang terkorban akibat tragedi tersebut.
“Ini adalah susulan daripada keputusan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada minggu lalu yang telah bersetuju untuk menyalurkan bantuan sebanyak RM5,000 kepada setiap waris dan saya telah diberi amanah oleh Menteri Besar untuk menghulurkan sumbangan tersebut.
“Pemberian sumbangan ini adalah sebagai salah satu tanda simpati dan ucapan takziah kepada sembilan waris mangsa yang terkorban,” katanya ketika ditemui di Markas Unit 5 FRU, di sini.
Dalam perkembangan sama, beliau berharap sumbangan tersebut dapat disampaikan kepada waris yang terlibat dengan segera.
“Difahamkan, mereka (waris) bukan tinggal di kuarters FRU dan agak sukar untuk mengumpulkan mereka. Jadi, pada hari ini kita telah ambil keputusan untuk menyampaikan sumbangan kepada pihak penguasa.
“Ini supaya pihak penguasa memudahkan dan mempercepatkan urusan (sumbangan) supaya dapat diterima waris, tambahan pula esok adalah perayaan Aidiladha,” jelasnya.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.50 pagi pada 13 Mei lalu, sebuah trak FRU yang membawa 18 anggota dari Unit 5 Sungai Senam menuju ke Ipoh selepas selesai menjalankan tugas sempena perayaan Chitrapournami di Teluk Intan bertembung dengan sebuah lori membawa muatan batu kerikil.
Lapan anggota maut di lokasi kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan (HTI).
Sembilan anggota yang terkorban ialah Sarjan S Perumal, 44; Sarjan Mohd Roslan Abd Rahim, 46; Koperal Mohd Pozli Jaudin, 41; Koperal P Nurit, 34, dan Koperal Amiruddin Zabri, 38.
Empat lagi ialah Koperal Mohamad Hilmi Mohd Azlan, 38; Koperal Muhamad Akmal Muhamad, 35; Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, 33, dan Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
MGPerak: Tragedi Trak FRU Dirempuh Lori Muatan Batu Di Teluk Intan, 9 Maut