PARIT – Ibu kepada empat beradik yang maut dalam nahas jalan raya di Kilometer 7, Jalan Jerantut-Maran tengah malam Sabtu lalu tidak menyangka akan kehilangan insan tersayang dalam sekelip mata.
Zaini Noh, 52, berkata, walaupun reda dengan ketentuan Ilahi, dia berasa berat hati menerima hakikat tersebut, tambahan lagi apabila anak-anaknya begitu bersungguh-sungguh mahu menyambut Aidiladha di rumah bapa saudara mereka di Pahang, yang akhirnya berakhir dengan tragedi.
Menurutnya, dia sudah melarang kesemua mereka daripada pergi kerana berasa tidak sedap hati, namun anak sulungnya, Nur Arfiqah Aziz Jaafar, 23, terlalu teruja dan beria-ia untuk ke sana.
“Sudah 21 tahun kami tidak ke rumah abang saya di Jerantut itu. Setiap kali raya, semua akan beraya di sini. Namun Aidiladha tahun ini, abang saya beritahu mahu buat ibadah korban, jadi mereka sangat bersemangat hendak pergi.
“Saya dan suami tidak ikut kerana keadaan kesihatan saya yang kurang baik. Saya sudah beritahu mereka supaya jangan pergi sebab saya pun tak ikut. Saya larang banyak kali, tapi dia (Arfiqah) tetap nak pergi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di kediamannya di Batu 11 3/4, Kampung Padang Kunchor, Bota Kanan di sini, pada Sabtu.
Selain Nur Arfiqah, turut terkorban dalam nahas jalan raya pada jam 12.40 tengah malam ialah suaminya, Mohamad Ikmal Ishak, 26, serta tiga adik wanita itu, Mohammad Zulkifli, 21; Mohamad Azizul Hakimi, 19, dan Nurul Hazwani,17.
Tambah Zaini, mereka bertolak ke Jerantut dari Ipoh sekitar jam 5 petang Jumaat selepas anak kedua daripada enam beradik itu pulang dari kerja.
Katanya, seorang lagi anaknya yang berusia 12 tahun turut serta dalam perjalanan tersebut, namun bertolak lebih awal bersama bapa saudara mereka iaitu sehari sebelumnya.
““Kali terakhir saya jumpa mereka ialah pada Selasa lepas, masa Arfiqah datang ambil adik-adiknya. Azizul pun balik sekejap sebab dia cuti sehari.
“Tak ada perubahan ketara pun, tapi kawan-kawan mereka ada beritahu yang anak saya sempat belanja rakan-rakan makan di rumah sewa,” ujarnya.
Menurut Zaini lagi, setiap kali sambutan Aidilfitri dan Aidiladha, keluarganya akan menyediakan serta menjual lemang di hadapan rumah.
“Biasanya Nurul Hazwani akan bantu saya buat lemang. Tetapi tahun ini (beberapa hari sebelum hari raya) suami beritahu supaya tak payah buat lemang sebab semua anak nak ke Pahang,” katanya.
Zaini berkata, dia hanya mengetahui tentang kemalangan itu selepas dimaklumkan oleh jiran, namun beberapa jam kemudian, dia menerima perkhabaran duka apabila empat daripada enam anaknya terkorban dalam nahas tersebut. MG Perak.
Artikel Berkaitan: