KUALA LUMPUR – Kewujudan halaman pedofilia di media sosial yang memaparkan murid sekolah perlu segera dilaporkan dan diambil tindakan, demikian tegas Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Katanya, halaman media sosial yang memaparkan kandungan lucah dan tidak bermoral perlu dibendung.
“Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil serius laporan media mengenai kewujudan halaman pedofilia di media sosial yang memaparkan murid sekolah,” katanya menerusi kenyataan.
Baru-baru ini, aktivis media sosial, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli dipetik sebagai berkata mendedahkan wujud dan tular kumpulan Facebook dikenali sebagai ‘Group Budak2 Sekolah Rendah’ yang kini mencetuskan kemarahan orang ramai.
Kumpulan itu dipercayai secara aktif memaparkan kandungan berunsur tidak bermoral melibatkan murid sekolah bawah umur yang dikaitkan dengan pedofilia.
Caprice turut memaklumkan sudah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Mengulas lanjut Fadhlina berkata, KPM mempunyai modul Garis Panduan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) bagi meningkatkan tahap kesedaran kesihatan reproduktif dalam kalangan masyarakat khususnya murid, guru dan ibu bapa.
Tambahnya, tempoh masa pengajaran bagi modul PEERS akan ditambah dalam pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027.
Justeru, beliau meminta semua institusi pendidikan KPM diminta untuk mematuhi garis panduan bagi menangani isu gangguan seksual yang sedang digunapakai.
“Khidmat sokongan psikososial juga perlu terus diperkukuhkan untuk memberi sokongan kepada murid.
Dalam masa sama, ibu bapa digesa untuk turut memainkan peranan proaktif di rumah dengan mendidik dan melindungi anak-anak dari ancaman gangguan seksual. Mereka bertanggungjawab memastikan maruah anak-anak dipelihara,” katanya lagi.-MalaysiaGazette