Sultan Nazrin rasmi Dataran Waterfront Bagan Datuk

BAGAN DATUK – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat merasmikan Dataran Waterfront Bagan Datuk, di sini, pada Selasa.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Keberangkatan tiba pasangan diraja itu disambut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Sebaik Sultan Nazrin melafaz serta menyempurnakan gimik perasmian dan menandatangani plak, hadirin seterusnya dipersembahkan dengan persembahan montaj sejarah Bagan Datuk

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke majlis Perasmian Dataran Waterfront Bagan Datuk. Foto ABDULLAH YUSOF, 17 JUN 2025.

Usai majlis perasmian itu, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara berkenan menyaksikan Demonstrasi Maritim melibatkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perikanan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan lain-lain agensi.

Baginda berdua kemudiannya melawat pameran dan berkenan ke majlis santapan sebelum berangkat pulang.

Terdahulu Ahmad Zahid dalam sembah ucapan beliau memaklumkan pembinaan Dataran Waterfront merupakan salah satu lagi tarikan istimewa buat para pengunjung dari dalam dan luar daerah Bagan Datuk.

Beliau berkata, projek pembinaan Dataran Waterfront meliputi beberapa komponen yang telah dilaksanakan seperti pembinaan Terminal Jeti Pelancongan Bagan Datuk, kemudahan riadah dan rekreasi buat para pengunjung, serta pemuliharaan fasad bangunan kedai dan naik taraf jalan di sekitar Pekan Bagan Datuk.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke majlis Perasmian Dataran Waterfront Bagan Datuk. Foto ABDULLAH YUSOF, 17 JUN 2025.

“Selain itu, landskap Dataran Waterfront turut diserikan lagi dengan adanya replika tempurung kelapa bersama-sama air pancut (fountain), bangunan BD Walk dan juga sebuah replika kapal jong termasuk set alat permainan kanak-kanak dan informasi sejarah di bahagian dalam dan atas kapal jong tersebut.

“Dengan terbinanya dataran ini, rakyat jelata khususnya penduduk Bagan Datuk dapat meluangkan masa untuk beriadah bersama keluarga di samping menikmati keindahan matahari terbenam berlatarkan muara Sungai
Perak pada waktu senja,” katanya. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI