Kilang proses e-waste haram diserbu, nilai rampasan RM111.4 Juta

BATU GAJAH – Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta berjaya membongkar kegiatan memproses sisa elektronik (e-waste) secara haram dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM111.4 juta menerusi serbuan di sebuah kilang di kawasan perindustrian di Lahat, dekat sini, pada Isnin.

Serbuan menerusi Operasi Op Hazard 2.0 yang dijalankan sekitar jam 7 malam itu dilakukan oleh sepasukan anggota Cawangan Risik Briged Utara PGA Ulu Kinta bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Perak.

Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, hasil serbuan itu pihaknya merampas pelbagai jenis sisa e-waste, plastik, logam, aluminium serta pelbagai mesin memproses sisa terjadual.

“Hasil risikan selama lebih kurang sebulan mendapati aktiviti di kilang berkenaan telah dijalankan dalam tempoh lebih kurang setahun.

“Siasatan lanjut juga mendapati kilang itu beroperasi tanpa sebarang kelulusan daripada JAS dan menggajikan pekerja warga asing tanpa dokumen,” katanya pada sidang media, di sini, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Shahrum berkata, dianggarkan sebanyak 1,500 beg bersaiz jumbo dengan anggaran berat antara 850 kilogram (kg) hingga 1,000 kg setiap satu, dipercayai mengandungi e-waste, ditemukan di dalam premis berkenaan.

“Kita masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti jumlah sebenar e-waste yang terdapat dalam beg jumbo yang belum diproses.

“Pada masa sama, PGA dan JAS akan terus mempergiatkan usaha membanteras kegiatan memproses e-waste secara haram di kawasan utara seperti Perak, Pulau Pinang dan Kedah,” ujarnya.

Dalam serbuan sama, lima pekerja asing warga Myanmar, termasuk seorang wanita berusia antara 25 hingga 45 tahun, turut ditahan selepas didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Menurut Shahrum, kesemua mereka telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Tambah beliau, bagi kesalahan memproses e-waste secara haram, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 34A dan Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Kita akan terus komited dan konsisten dalam menggerakkan tindakan penguatkuasaan serta tidak akan sesekali berkompromi dalam menegakkan undang-undang,” tegasnya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Sultan Nazrin titah banteras operasi e-waste haram di Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI