IPOH – Polis mengesahkan tiada sebarang aktiviti letupan kuari atau latihan melibatkan letupan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA), Ulu Kinta dijalankan susulan bunyi letupan disusuli gegaran yang dirasai di beberapa kawasan sekitar Ipoh pagi ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian yang didakwa berlaku sekitar jam 10.30 pagi tadi.
Menurutnya, siasatan menyeluruh sedang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dengan kerjasama pelbagai agensi bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Beberapa pasukan petugas telah digerakkan ke lokasi-lokasi terlibat bagi tujuan pemantauan serta mendapatkan maklumat awal daripada orang awam.
“Selain itu, Jabatan Meteorologi Malaysia turut mengesahkan tiada sebarang aktiviti seismik direkodkan di sekitar Ipoh pada waktu berkenaan.
“Setakat ini, tiada laporan kecederaan atau kerosakan harta benda diterima,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ipoh di talian 05-254 2222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
“Kita menyeru orang ramai supaya bertenang dan tidak menyebarkan sebarang spekulasi yang tidak sahih terutamanya melalui media sosial, bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran awam,” tegasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: