Insaflah! Sedarlah! dari merosakkan bumi – Sultan Nazrin

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah bencana yang kerap merosakkan bumi masa kini berpunca daripada manusia yang kufur, melampaui batas, melanggar perintah Ilahi dan melakukan dosa dengan mencabuli hak makhluk lain.

Titah baginda, setiap insan dan lapisan masyarakat wajib memenuhi tanggungjawab fardu kifayah memastikan segala usaha pembangunan diseimbangkan dengan pemuliharaan alam sekitar.

“Insaflah! Sedarlah! bencana yang semakin merosakkan bumi ini berpunca daripada manusia yang kufur, manusia yang melampaui batas, manusia yang melanggar perintah Ilahi, manusia yang melakukan dosa dengan mencabuli hak makhluk lain.

“Islam melarang keras sebarang bentuk pencemaran yang boleh merosakkan alam sekitar. Alam sekitar yang rosak bukan hanya memberi implikasi buruk kepada manusia, bahkan seluruh alam akan merasai kesan yang mengundang bencana dan bahaya.

“Islam memandang perbuatan mencemarkan alam sehingga merosakkan habitat dan menjejaskan kehidupan makhluk, sebagai perlakuan dosa, dan pelakunya dilaknat. Amatlah tidak bertanggungjawab bagi manusia yang dikurniakan akal oleh Ilahi, memilih melakukan kerosakan,” titah baginda.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Sambutan Ma’al Hijrah Negeri Perak Darul Ridzuan 1447H di Hotel Casuarina@Meru, Ipoh, pada Khamis. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 26 JUN 2025.

Baginda bertitah sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah 1447 peringkat negeri Perak bertemakan ‘Hijrah dan Kelestarian: Menyatukan Ummah Memulihara Bumi’ di Hotel Casuarina Meru, di sini, pada Khamis.

Baginda bertitah, dunia pada hari ini berhadapan fenomena alam yang mengalami pelbagai bencana sehingga mengancam kesejahteraan hidup dan kelestarian alam.

“Pertambahan bilangan serta kepadatan penduduk, penerokaan tanah dan penempatan baharu, pembinaan prasarana, peningkatan kawasan bandar dan pengembangan aktiviti perindustrian, telah secara langsung memberi kesan terhadap alam.

“Fenomena yang sedang berlaku seharusnya mencetuskan kesedaran kepada pelbagai pihak untuk berganding bahu menangani krisis alam yang semakin membimbangkan.

“Islam sebagai agama yang syumul mementingkan perlindungan terhadap alam sekitar dan mentakrifkan usaha memulihara alam sekitar sebagai ibadah,” katanya.

Sultan Nazrin bertitah, dalam dunia yang semakin rencam, ummah diingatkan bahawa ummah masih terpimpin dalam satu wadah Ilahi; mengutamakan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai sumber rujukan ketika menjunjung amanah dan menyempurnakan tanggungjawab untuk mengurus alam dan manusia.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Sambutan Ma’al Hijrah Negeri Perak Darul Ridzuan 1447H di Hotel Casuarina@Meru, Ipoh, pada Khamis. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 26 JUN 2025.

Titah baginda, prinsip-prinsip kelestarian yang diperkenalkan oleh Islam, tidak lapuk dihujani, dan tidak lekang dipanasi dan hendaklah terus dijadikan panduan untuk memastikan kelestarian alam yang lebih mampan.

“Semoga permulaan hijrah 1447 menjadi titik tolak keinsafan untuk melakukan perubahan, menghentikan segala kebejatan (depravity) yang memusnahkan alam.

“Bumi ini milik Allah S.W.T., manusia yang diciptakan Ilahi sebagai khalifah di muka bumi ini, wajib menghayati semangat pembawa ‘rahmat’ dengan amanah dan hikmah seperti yang diperlihatkan oleh Nabi S.A.W. memimpin manusia dan mengurus tadbir alam semesta.

“Hargai dan syukurilah nikmat anugerah Ilahi dengan tidak menderhaka kepada perintah Ilahi, dan berhenti melakukan kezaliman terhadap kehidupan alam sejagat, agar kehidupan kita terhindar daripada malapetaka bencana alam, dan manusia dapat hidup dalam kesejahteraan, dipayungi rahmat dan kasih sayang Ilahi,” titah Sultan Nazrin.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak kepada Pengarah Akademi Sharifah Khasif, Sharifah Khasif Fadzillah Syed Badiuzzaman pada Sambutan Ma’al Hijrah Negeri Perak Darul Ridzuan 1447H di Hotel Casuarina@Meru, Ipoh, pada Khamis. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 26 JUN 2025.

Pada majlis itu, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak bagi tahun 1447 Hijrah kepada Pengarah Akademi Sharifah Khasif, Sharifah Khasif Fadzillah Syed Badiuzzaman.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dan Raja Di Hilir, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris A’fifullah Shah.

Keberangkatan tiba Sultan Nazrin dan Tuanku Zara sekitar jam 9 malam itu disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Hadir sama, Mufti Perak, Datuk Seri Dr Wan Zahidi Wan Teh; Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Harith Fadzilah Abdul Halim. – MG Perak

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI