IPOH – Siasatan terhadap bunyi letupan dan gegaran di beberapa kawasan sekitar bandar raya ini masih diteruskan, namun setakat ini belum terdapat sebarang penemuan spesifik yang boleh menjelaskan punca kejadian tersebut.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, berikutan itu, beliau tidak dapat memberikan sebarang maklumat lanjut kerana perkara itu masih berada di bawah siasatan pihak polis.
“Siasatan itu diteruskan tetapi belum dijumpai atau ditemui secara spesifik. Jadi, saya tidak dapat beri komen apa-apa lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Malaysia Culinary World Cup (MCWC) 2025 di Bulatan Sultan Azlan Shah, di sini pada Jumaat.
Menurutnya, siasatan kini dikendalikan sepenuhnya oleh polis dan hanya satu agensi sahaja terlibat dalam menjalankan siasatan setakat ini.
“Polis yang membuat siasatan berkaitan dengan keselamatan negeri. Apa yang diperoleh oleh polis itulah yang akan menjadi laporan kepada kerajaan negeri,” ujarnya.
Mengulas mengenai tempoh siasatan, Saarani menjelaskan bahawa pihak polis masih berusaha untuk mendapatkan maklumat berkaitan kerana masih belum ada penemuan yang jelas setakat ini.
Sementara itu, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Perak dalam satu kenyataan hari ini berkata, bunyi letupan misteri telah dilaporkan di seluruh dunia sekian lama tanpa penjelasan yang pasti.
Katanya, bunyi tersebut digambarkan dari arah langit dengan letupan yang sederhana hingga kuat, dan kadangkala menggegarkan tingkap dan dinding bangunan.
“Letupan misteri yang berlaku di Ipoh ini pernah berlaku pada tahun 2012, 2018, 2024 dan terbaru pada 18 Jun 2025 kira-kira jam 10.30 pagi serta telah dipastikan bukan akibat letupan aktiviti kuari, ujian bom atau ledakan sonik dari jet.
“Kajian awal JMG Perak menunjukkan kawasan di mana orang awam mendengar bunyi letupan tersebut adalah dalam lingkungan yang sama iaitu dari Chemor, Klebang,Meru di utara hingga sekitar Tambun dan Gunung Rapat, di selatan.
“Selain Ipoh, letupan misteri juga pernah berlaku di Jepun, Amerika Syarikat, Bangladesh, Belgium, Australia dan United Kingdom, Kanada, Colombia, Finland, Vanuatu, Australia, Italy, Ireland dan Indonesia,” jelasnya.
Kenyataan itu turut memaklumkan, JMG Perak masih belum dapat mengesan punca dan akan terus menjalankan kajian geologi sekitar Ipoh. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Bunyi letupan, gegaran Ipoh: MB minta penduduk bertenang, kajian sedang dilakukan