Henti jadikan Islam, Melayu `terancam’ naratif kepentingan politik – Zambry

KUALA LUMPUR – Islam dan Melayu bukan identiti yang rapuh, tetapi ia juga tidak boleh dibiarkan menjadi alat retorik yang membangkitkan ketakutan atau sentimen keterlaluan.

Sebaliknya, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd. Kadir berkata, Islam dan Melayu perlu diperkukuhkan dengan keyakinan ilmu, kefahaman sejarah dan keteguhan prinsip Perlembagaan.

Menurut beliau, semua pihak harus menyedari bahawa naratif Islam dan Melayu `terancam’ sering kali dimanipulasi untuk kepentingan politik jangka pendek.

“Hakikatnya, Islam sebagai agama Persekutuan dan kedudukan istimewa Melayu serta Bumiputera telah terjamin dalam kerangka Perlembagaan yang dibentuk dengan penuh hikmah oleh para pengasas negara.

“Apa yang perlu diperkukuhkan ialah penghayatan kepada semangat Perlembagaan itu sendiri,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau malam tadi.

Kenyataan Zambry yang juga Menteri Pendidikan Tinggi itu sebagai rumusan kepada program Better Nation (BN) Forum Siri Kelima bertajuk `Politik Identiti di Malaysia: Benarkah Islam dan Melayu Terancam?’ yang diadakan di Auditoriom Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, kelmarin.

Forum itu menampilkan tiga ahli panel iaitu Pengarah dan Pengasas Institusi Kajian Etnik, UKM, Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri; Pensyarah Jabatan Pengajian Melayu, National University of Singapore (NUS) Prof. Madya Dr. Syed Muhammad Khairuddin Aljunied dan Profesor Adjung, Institut Kajian Borneo, UNIMAS, Datuk Profesor Dr. Jayum Anak Jawan.

Selain itu, forum yang mana Zambry bertindak sebagai moderator tersebut turut menjemput dua lagi ahli panel secara maya iaitu Pensyarah Fakulti Ilmu Sosial dan Ilmu Politik, Universitas Jember, Indonesia, Profesor Abu Bakar Eby Hara dan Felo Pelawat, Universiti Cambridge, UK, Nikita Samdariya.

Sementara itu, Zambry berkata, tajuk forum tersebut membuka ruang wacana yang sangat diperlukan dalam suasana politik dan sosial negara yang semakin kompleks.

Jelasnya, ia bukan sekadar perbincangan tentang kebimbangan kelompok tertentu, tetapi menyentuh akar persoalan tentang bagaimana orang ramai memahami identiti baik sebagai individu, komuniti mahupun sebagai sebuah negara yang majmuk.

“Dalam suasana Malaysia hari ini, cabaran utama bukan sekadar mempertahankan identiti, tetapi bagaimana cara kita mengurus kerencaman dengan matang dan penuh hikmah.

“Islam dan Melayu sering digunakan sebagai retorik populis, demi meraih sokongan dan undian semata-mata,” katanya.

Dalam pada itu, tambah Zambry, beliau percaya politik identiti yang sihat adalah politik yang mencerminkan jati diri dan maruah, bukan politik yang bersifat eksklusif, memecahbelah atau menakut-nakutkan.

“Kita mesti terus mendidik masyarakat dengan ilmu dan wacana, bukan dengan kebencian dan persepsi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI