LENGGONG – Kerajaan Negeri Perak akan memperuntukkan sejumlah dana menerusi Belanjawan Perak akan datang bagi merancakkan industri pelancongan negeri, sejajar dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, antara program yang bakal menerima peruntukan tersebut termasuk penganjuran acara sukan permotoran lasak bertaraf antarabangsa, Rimba Raid yang diadakan di sini.
“Kerajaan negeri akan memperuntukkan dana bagi penganjuran Rimba Raid tahun hadapan dan ia akan dimasukkan dalam Belanjawan Negeri Perak 2026.
“Kita mahu memastikan acara ini bukan sahaja menjadi salah satu tarikan pelancongan negeri, malah dimasukkan dalam kalendar pelancongan negara bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan acara pelepasan Rimba Raid X Lenggong 2025 di Tasik Sandarhalu, Kampung Luat, di sini, pada Ahad.
Turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Pengasas Rimba Raid, Kapten Datuk Nik Huzlan Nik Hussain.
Pada acara tersebut, Saarani bersama tetamu kehormat melepaskan seramai 126 peserta sukan bermotor lasak dari dalam dan luar negara bagi kategori Kelas C, melibatkan motosikal satu silinder berkapasiti 250cc hingga 800cc.
Mengulas lanjut, Saarani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan turut berharap komuniti dan pihak swasta dapat berganding bahu bersama kerajaan dalam memajukan sektor pelancongan negeri.
Menurut beliau, pelancongan merupakan antara sektor penting kepada pertumbuhan ekonomi negeri, khususnya melibatkan penglibatan masyarakat tempatan.
“Misalnya melalui penganjuran Rimba Raid X Lenggong 2025, kehadiran peserta dari pelbagai negara memberi impak positif kepada ekonomi setempat.
“Paling penting, saya mahu peserta luar negara ini mempromosikan apa yang ada di Lenggong, iaitu daripada sudut keindahan flora dan fauna, produk pelancongan serta keramahan penduduk.
“Ia supaya apabila mereka pulang ke negara masing-masing, mereka akan menceritakan pengalaman itu dan menarik lebih ramai pelancong ke sini,” katanya.
Rimba Raid X Lenggong 2025, yang memasuki edisi ke-10, berlangsung selama empat hari dan melabuhkan tirainya pada Ahad.
Penganjuran kali kedua di Lenggong itu menyaksikan penyertaan 280 pelumba dari 15 negara termasuk Thailand, Indonesia, Singapura, India, Australia, Amerika Syarikat dan Jepun. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak teruskan penganjuran Rimba Raid sehingga 2026