KUALA LUMPUR – Penceramah selebriti, Azman Syah Alias atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Azman kini menjalani rutin harian di Penjara Kajang dekat sini dengan mengajar agama kepada banduan lain.
Perkata itu dikongsikan peguamnya, Mohamad Zahid Ahmad menerusi satu hantaran di Facebook yang dimuat naik dengan keizinan bekas anak guamnya itu.
Menurutnya, Azman, 44, yang turut mesra disapa sebagai Cik Man berada dalam keadaan baik dan sudah menghafaz empat juzuk al-Quran sepanjang berada dalam penjara.
“Untuk pengetahuan semua, beliau berada dalam jagaan yang baik dan setiap hari beliau mengajar banduan di dalam penjara dan ada kalanya berkongsi ilmu dengan pegawai penjara.
“Beliau mohon didoakan dan dimaklumkan kini telah menghafaz empat juzuk al-Quran,” katanya.
Menurutnya, Azman juga sering meminta untuk dibawakan buku baharu setiap kali mereka bertemu, walaupun kehidupan dalam penjara bukan sesuatu yang mudah.
“Hanya beliau sahaja yang tahu apa yang beliau rasa. Namun setiap orang ada jalan dan ceritanya sendiri. Saya yakin apa yang terjadi kepada sahabat saya adalah ujian terbaik di sisi Allah,” tambahnya.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan Azman untuk menjalani hukuman penjara secara serentak selama 12 tahun berbanding 24 tahun atas dua pertuduhan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki.
Bagaimanapun hukuman dua sebatan yang dikenakan terhadapnya sebelum ini dikekalkan, dan beliau mula menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 27 September 2024. – MalaysiaGazette