KUALA KANGSAR – Dua lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka merempuh bahagian belakang sebuah lori muatan baja di Kilometer (km) 253 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, awal pagi Rabu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian membabitkan mangsa berusia 25 dan 22 tahun itu pada jam 5.51 pagi.
Katanya, sejurus selepas itu sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya dengan bantuan BBP Kuala Kangsar telah dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati sebuah kenderaan pacuan empat roda telah melanggar bahagian belakang sebuah lori yang membawa muatan baja.
“Dua lelaki yang berada dalam kenderaan berkenaan tersepit dan pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan kedua-duanya telah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Sabarodzi berkata, kerja-kerja membawa keluar kedua-dua mangsa daripada bangkai kenderaan menggunakan peralatan khas termasuk bagi meluaskan ruang serta memotong struktur kenderaan yang remuk.
“Selepas berjaya dikeluarkan, kedua-dua mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” tambahnya.
Kata beliau, operasi diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Suhaimi Ab Samad melibatkan lapan anggota itu tamat pada jam 7.50 pagi.
Identiti mangsa dan punca kejadian masih dalam siasatan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Seorang maut nahas empat kenderaan di Kuala Kangsar