TANJUNG MALIM – Kerajaan Negeri Perak tidak akan membuat keputusan tergesa-gesa berhubung cadangan larangan penjualan rokok elektronik atau vape di negeri ini.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, kajian menyeluruh sedang dijalankan meliputi pelbagai aspek, termasuk kebajikan pekerja dalam industri berkenaan.
“Kita belum mengadakan pertemuan dengan pengusaha vape, tetapi saya telah mengarahkan Pengarah Kesihatan Negeri (Dr Feisul Idzwan Mustapha) untuk menyediakan kertas cadangan berhubung perkara ini.
“Namun, perbincangan awal ke arah larangan penjualan vape juga telah dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Apresiasi Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Perak di Hospital Slim River, di sini, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Sivanesan menegaskan larangan secara tergesa-gesa dikhuatiri memberi kesan buruk kepada mereka yang bergantung kepada sektor vape untuk sumber pendapatan.
“Kita tidak mahu terburu-buru. Jika kita batalkan penjualan vape, kita perlu pertimbangkan kesannya. Saya bertanggungjawab memastikan kebajikan sumber manusia di negeri ini.
“Jika 50 orang pekerja hilang kerja, itu bermakna 50 keluarga kehilangan punca pendapatan. Sebab itu kajian perlu dilakukan secara menyeluruh,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau memberitahu, tiada kes penyalahgunaan bahan terlarang pada peranti vape dilaporkan di Perak setakat ini.
Sivanesan turut berpandangan larangan tersebut akan lebih berkesan jika dilaksanakan di peringkat Persekutuan kerana melibatkan penguatkuasaan undang-undang di seluruh negara.
“Kalau arahan datang daripada Jemaah Menteri, lebih mudah untuk dikuatkuasakan kerana ia melibatkan semua negeri.
“Sebagai contoh, jika Perak melarang tetapi negeri lain seperti Pulau Pinang tidak, akan timbul masalah penyeludupan. Jadi larangan sebaiknya dilaksanakan serentak di seluruh negara,” katanya lagi.
Untuk rekod, Johor menjadi negeri pertama mengharamkan penjualan vape sepenuhnya pada 2016, diikuti Kelantan dan Terengganu.
Sementara itu, beberapa negeri lain termasuk Perak, Melaka, Selangor dan Pulau Pinang masih dalam peringkat kajian sebelum membuat keputusan. – MG Perak
Artikel Berkaitan: