LUMUT – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan bahawa Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bakal dinamakan sebagai calon Parlimen Lumut pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) nekad akan merebut semula kerusi Parlimen Lumut termasuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkor dan Pasir Panjang pada PRU akan datang.
“InshaAllah, pada PRU16 kerusi Parlimen Lumut akan diambil semula di bawah UMNO dan BN. Begitu juga kerusi (DUN) Pangkor dan Pasir Panjang, kita akan rebut semula.
“Ini bukan retorik ini fakta. Zambry jangan hiba dengan kekalahan 363 undi, jangan hiba. Saya menang tetapi 348 undi (majoriti), saya telah maafkan pengundi-pengundi Bagan Datuk. Zambry maafkan pengundi Lumut.
“Di Lumut, kalau ditakdirkan yang dipilih nanti adalah calon Ketua UMNO Bahagian Lumut, kombinasi antara pengundi Pakatan Harapan (PH) dan BN mengikut perkiraan politik kita akan memperoleh kira-kira 61,000 undi.
“Kita lihat rakan-rakan kita dari MCA, MIC dan rakan-rakan dalam PH, akan mengukuhkan kekuatan baharu. Kekuatan untuk melihat Kerajaan Perpaduan merampas semula tiga kerusi di Lumut ini, InshaAllah,“ katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lumut di Dewan Merdeka Majlis Perbandaran Manjung di sini pada Ahad.
Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua UMNO Bahagian Lumut, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri turut menetapkan empat prasyarat untuk merealisasikan hasrat tersebut.
“Ia datang dengan syarat. UMNO Bahagian Lumut dan rakan-rakan kita di Lumut mesti bersatu. Kita perlu bekerjasama untuk memperkukuh perpaduan dalam kalangan kita. Jangan berpecah, jangan berbeza pendapat.
“Prasyarat kedua kita mesti santuni rakan-rakan BN dan PH. Kita akui MIC dan MCA sedang diuji. Mungkin orang Cina dan India tidak bersama mereka pada ketika ini. Mereka sedang susah maka jadi tanggungjawab kita membantu mereka pada ketika ini.
“Rakan-rakan PH, kita bantu mereka pada beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK). Ertinya kita wajib santuni rakan-rakan kita untuk tentukan bahawa pada PRU akan datang calon-calon UMNO/BN akan dominan semula di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.
“Kita hanya sebahagian daripada kerajaan. Kita boleh meminta dan mendesak tetapi ada batasan. Kita kena ingat bahawa rakyat sedang melihat, menilai dan meninjau samada kita boleh terus mentadbir.
“Kita akan lihat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan berlaku pada bila-bila masa. Kita dapat lihat bagaimana rakyat Sabah rindukan BN. Kita akan berjuang di sana kemudian ke Melaka dan Johor,” ujarnya.
Bagi prasyarat ketiga, Ahmad Zahid mengingatkan para perwakilan agar meninggalkan pemikiran lama dan menerima realiti politik semasa.
“Cukuplah dengan cara lama kita. Apa budaya kita? Kita fikir bila kita jadi sebahagian daripada kerajaan, kita mesti mendesak dan menuntut itu dan ini.
“Sepertimana kita pernah dominan selama 60 tahun, sekarang kita hanya sebahagian daripada kerajaan. Ya, kita boleh minta, kita boleh desak, tetapi kita ada batas,” jelasnya.
Untuk prasyarat terakhir, Ahmad Zahid meminta supaya menguasai media sosial dan berinteraksi dengan pengundi secara lebih strategik.
Tambahnya, Pemuda dan Puteri UMNO khususnya membantu dalam memimpin naratif digital dengan menyampaikan secara relevan, berhemah dan meyakinkan amat penting untuk membina semula kepercayaan rakyat.
“Ini peluang terakhir untuk kita rampas semula ketiga-tiga kerusi di Lumut, jangan sia-siakan,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: