Penjaga parkir didakwa miliki pistol tiruan, ugut dan cederakan mangsa

KUALA LUMPUR – Seorang penjaga parkir mengaku tidak bersalah di tiga Mahkamah Majistret di sini hari ini atas 11 pertuduhan memiliki pistol tiruan, melakukan ugutan jenayah dan mencederakan dua individu di sekitar ibu negara, awal bulan ini.

R. Sanjjiiv, 27, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret M.S. Arunjothy, Noorelynna Hanim Abd Halim dan Illi Marisqa Khalizan.

Tertuduh didakwa atas lima pertuduhan memiliki sepucuk pistol tiruan berwarna hitam berlabel ‘M1911A1 US Army ASGK Tokyo Marui Made in Japan’ yang disimpan di dalam papan pemuka kenderaan Toyota Yaris miliknya, tanpa alasan yang sah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di lima lokasi berasingan antaranya di Jalan Sungai Besi, Jalan Klang Lama dan Taman Desa antara 10 malam hingga 11.30 malam pada 1 Julai lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Berbahaya 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sanjiiv turut didakwa atas empat pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap lima lelaki dengan niat menimbulkan ketakutan, di tempat dan masa yang sama.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, dan jika ugutan melibatkan niat menyebabkan kematian atau kecederaan parah, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa atas dua lagi pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap dua individu, termasuk menumbuk seorang mangsa di muka di Jalan Sungai Besi melepasi Terowong Smart kira-kira 10 malam pada hari yang sama.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mencederakan seorang lelaki berusia 58 tahun dengan menggunakan pistol tiruan di hadapan sebuah kondominium di Jalan Klang Lama pada 11.30 malam, hari yang sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Batrisyia Mohd Khusyri, Iman Nurhidayah Ezani dan Nursyuhada Husna Sulaiman, manakala tertuduh diwakili peguam Khairunnisa Azzahra Ghazalie.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM19,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan serta menetapkan syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 13 Ogos dan 4 Sept ini.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI