Perak sedia beri latihan penjagaan warga emas

IPOH – Kerajaan Perak melalui Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) bersedia memberi latihan penjagaan melibatkan warga emas di negeri ini.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A. Sivanesan berkata, seramai enam peserta anak Perak telah mengikuti Kursus Train The Trainers-Penjagaan Warga Emas di Fukuoka, Jepun.

Menurut beliau, kesemua mereka berjaya menyelesaikan latihan selama enam bulan dan telah kembali di negeri ini serta bersedia untuk memasuki pasaran kerja atau memulakan perniagaan sendiri.

“Program ini melibatkan latihan penjagaan warga emas dengan kumpulan pertama pelatih telah dihantar ke Jepun dan kini telah kembali serta bersedia memasuki pasaran kerja atau memulakan perniagaan sendiri.

“Kos latihan ditanggung oleh kerajaan. Selepas kembali, mereka akan melatih tenaga kerja tempatan, sekali gus mengurangkan keperluan untuk menghantar lebih ramai ke Jepun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir ke Majlis Pelancaran Kolaborasi antara Pantai Hospital Ipoh (PHI) dengan SilverGenz di Bilik Persidangan PHI, di sini, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Sivanesan berkata, Jepun merupakan negara maju di mana kita dapat melihat bagaimana negara berkenaan berjaya menguruskan populasi warga emas mereka.

“Oleh itu, kita telah menghantar peserta terpilih dari Perak ke Jepun untuk mempelajari cara penjagaan warga emas.

“Kami menyediakan program latihan berasaskan TVET untuk mempersiapkan golongan muda dengan kemahiran dan latihan tertentu dan salah satu modul yang diperkenalkan ialah penjagaan kesihatan warga emas, dengan mencontohi pendekatan Jepun dalam menangani isu ini,” katanya.

Sivanesan turut mempelawa mana-mana pihak swasta yang berminat untuk menyertai latihan yang disediakan.

Untuk rekod Kursus Train The Trainers – Penjagaan Warga Emas di Fukuoka, Jepun merupakan inisiatif strategik antara PASAK, Pusat Latihan Retirement & Retirement Management, serta rakan strategik di Jepun untuk melatih tenaga kerja tempatan dalam bidang penjagaan warga emas (Kaigo).

Semua peserta menjalani latihan di International Academy Kyushu Medical and Sports College, Jepun. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI