AIROC 2026 himpun 1,200 peserta perkukuh hab AI, robotik

TAIPING – Hampir 1,200 peserta dari enam negara menyertai Karnival Kecerdasan Buatan (AI) dan Robotik (AIROC) Antarabangsa Jabatan Tenaga Manusia (JTM) 2026 yang berlangsung di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), di sini pada Ahad.

Karnival berprestij anjuran JTM di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) itu diadakan selama tiga hari bermula Jumaat lalu dan berakhir pada Ahad melibatkan peserta dari Jepun, Indonesia, Thailand, Singapura, Turki dan Malaysia.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, Datuk A Sivanesan berkata, karnival ini secara tidak langsung memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pembangunan bakat dalam bidang AI dan robotik di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, karnival tersebut merangkumi dua komponen utama iaitu Pertandingan Robotik Antarabangsa Perak (PIRC) dan Artificial Intelligence Seminar.

“Penganjuran kali ini adalah kerjasama antara ADTEC JTM Kampus Taiping dan Persatuan Hi-Robotics Pulau Pinang yang telah dijalankan sejak 2019.

Lapan tahun menanti, Mechabotics raih kejayaan sulung, wakil negara ke Jepun
Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, Datuk A Sivanesan (tiga dari kanan) ketika melakukan gimik perasmian pada Karnival Kecerdasan Buatan (AI) dan Robotik (AIROC) Antarabangsa Jabatan Tenaga Manusia (JTM) 2026 yang berlangsung di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) JTM Kampus Taiping.

“Inisiatif tersebut bertujuan memperkasakan pembangunan teknologi robotik khususnya robot sumo di Malaysia, selain mempersiapkan generasi muda dengan kemahiran masa depan selaras keperluan Revolusi Industri 4.0.

“PIRC 2026 memfokus kepada pembangunan bakat dalam bidang seperti Sains dan Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Digitalisasi, AI dan Kejuruteraan Robotik.

“Sebanyak sembilan kategori dipertandingkan sepanjang karnival itu, antaranya 3kg Auto Robot Sumo Magnetic, 3kg Remote Control (RC) Robot Sumo Magnetic, 500g Auto Robot Sumo, 500g RC Robot Sumo, 1kg Auto Robot Sumo, 1kg RC Robot Sumo, Soccer Robot, Junior serta Senior Maze Solving Robot.

“Pemenang karnival ini berpeluang mewakili negara ke pertandingan robotik di Jepun yang secara tidak langsung membuka ruang kepada peserta tempatan menonjolkan bakat di peringkat global,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penutup AIROC 2026 di sini, pada Ahad.

Lapan tahun menanti, Mechabotics raih kejayaan sulung, wakil negara ke Jepun
Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, Datuk A Sivanesan.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah JTM, Ts Dr Aruna Ismail; Pengarah ADTEC JTM Kampus Taiping, Jamil Yahya; Pemgerusi Persatuan i-Robotik Pulau Pinang, Ts Zamzuri Hassan dan Pengarah Proton Institute Melaka, Ts Dr Norhuda Salim.

Dalam pada itu, Sivanesan berkata, dari segi kerajaan negeri, program ini antara inisiatif bertaraf antarabangsa yang dilaksanakan bagi memperkasa pembangunan bakat dalam bidang teknikal dan teknologi, bukan sahaja di peringkat negeri tetapi juga negara.

Katanya, pelbagai institusi teknikal di Malaysia menawarkan kursus berkaitan, selain banyak lagi pusat pendidikan lain yang turut menyediakan latihan dalam bidang tersebut.

Tambahnya, minat mendalam yang ditunjukkan peserta terhadap teknologi robotik dan kecerdasan buatan membuktikan golongan muda kini semakin bersedia serta sudah berada dalam bidang berkaitan, sekali gus mencerminkan sektor ini sebagai masa depan pembangunan negara. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

INSKEN seru usahawan kuasai teknologi digital, AI hadapi ketidaktentuan ekonomi global

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI