IPOH – Parti Amanah Negara (AMANAH) Perak, menyarankan Kerajaan Perpaduan memberi peluang kepada golongan muda untuk menerajui Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM).
Pengarah Komunikasi AMANAH Perak, Azhar Rahman berkata, ini kerana ia dilihat mampu memberi satu nilai tambah kepada Kerajaan Perpaduan dalam mewajahkan kerajaan pada hari ini kepada imej yang lebih segar dan mesra golongan muda.
“Memandangkan perubahan besar dalam budaya komunikasi yang berlaku pada hari ini, calon yang mampu menangkap kehendak masyarakat dilihat ada pada orang muda.
“Walaupun ia mungkin satu kelebihan, namun jawatan Pengarah J-KOM tidak perlu kepada mereka yang popular atau dari kalangan pempengaruh.
“Akan tetapi apa yang lebih penting adalah seorang yang ada iltizam dan mempunyai daya usaha tinggi dalam meletakkan J-KOM sebagai agen penerangan kerajaan berkesan di peringkat komuniti dengan idea-idea baru yang lebih segar,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Azhar berkata, bagaimanapun calon yang bakal dikemukakan bagi mengisi kekosongan jawatan Ketua Pengarah J-KOM itu, perlu mampu menggalas tanggungjawab dengan sebaiknya.
Jelas Exco Pemuda AMANAH Nasional itu, ini kerana jawatan tersebut memerlukan seseorang yang berkeupayaan untuk menggerakkan jentera di peringkat komuniti agar program dan gerak kerja di bawah mampu memberi impak.
“Selain itu, dengan perubahan dalam kaedah dan pendekatan komunikasi hari ini, seorang ketua yang kreatif dan energetik antara kriteria penting yang perlu diambil kira bagi memenuhi keperluan jawatan tersebut,” tambahnya.
Pada Khamis media melaporkan Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff mengesahkan beliau telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Ketua Pengarah J-KOM kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu.
Beliau dilaporkan berkata keputusan itu dibuat kerana menerima tawaran kerja baharu dan bukannya disebabkan tekanan daripada mana-mana pihak supaya melepaskan jawatan di J-KOM yang disandang sejak 2 Februari lalu. -MG Perak.
Artikel Berkaitan:
[…] Beri peluang orang muda terajui J-KOM – AMANAH Perak […]