BATU GAJAH – Seramai 26 usahawan Perak berjaya merekodkan jualan tunai berjumlah RM582,000 serta meraih potensi kontrak eksport bernilai RM8.4 juta, dalam tempoh Januari sehingga kini.
Exco Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Salbiah Mohamed berkata, pencapaian itu membabitkan usahawan yang berjaya memperluaskan pasaran ke luar negara menerusi tiga program utama perluasan pasaran antarabangsa negeri.
Katanya, program berkenaan melibatkan penyertaan dalam pameran dan ekspo perdagangan antarabangsa iaitu ‘Brunei Consumer Fair 2025’, ‘World Expo Osaka 2025’ di Jepun, dan ‘Fine Food New Zealand 2025’ di Auckland, New Zealand.
“Setiap tahun, kita menyasarkan sekurang-kurangnya 20 usahawan dari Perak, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), dapat dibawa menyertai program seumpama ini di luar negara.
“Menyertai program adalah satu perkara, tetapi untuk berjaya memperoleh keyakinan pihak luar adalah cabaran berbeza. Namun, kita sentiasa memastikan mereka didedahkan dengan peluang pasaran antarabangsa.
“Melalui penyertaan tersebut, kita berharap lebih banyak produk dan perkhidmatan dari Perak dapat menembusi pasaran global,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Kontena Produk Syarikat Syilis Food Manufacturing Sdn. Bhd. (Syilis) Ke Arab Saudi di Siputeh, dekat sini, pada Selasa.
Hadir sama, Pengarah Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP), Mohamad Rozlan Mohamad Razalli; Yang Dipertua Majlis Daerah Batu Gajah, Mohamad Razif Ramli; serta Ketua Pegawai Eksekutif Sylis, Shahrol Annaz Abdul Nasir.
Mengulas lanjut, Salbiah berkata, kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha dan inisiatif usahawan tempatan untuk menembusi pasaran antarabangsa serta mengangkat jenama produk Perak ke peringkat global.
Menurut beliau, seramai 173 usahawan tempatan telah didedahkan kepada peluang pasaran luar negara menerusi Program Hari Eksport Perak 2025 yang dianjurkan bersama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan STeP pada bulan lalu.
Dalam pada itu, beliau berkata, pemasaran digital kini menjadi komponen penting bagi memastikan kelangsungan perniagaan usahawan.
“Kita tidak boleh lari daripada penggunaan pemasaran digital. Ramai usahawan Perak kini menjadi pempengaruh yang mempromosi dan menjual produk mereka melalui media sosial.
“Malah, ada yang menguasai platform e-dagang dan menjadi contoh kepada usahawan lain dalam memanfaatkan teknologi untuk menembusi pasaran lebih luas,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak sasar 20 usahawan tembusi pasaran antarabangsa tahun ini