2,000 anggota polis dikerah kawal Himpunan Turun Anwar 26 Julai Ini

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengerahkan lebih 2,000 anggota bagi mengawal Himpunan Turun Anwar yang dijadual berlangsung secara aman pada 26 Julai ini di Dataran Merdeka.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Jan Usuf Mohamad berkata, pihaknya telah mengenal pasti empat lokasi utama yang menjadi titik permulaan perhimpunan iaitu di Sogo, Masjid Jamek, Masjid Negara dan Pasar Seni.

Katanya, peserta dijangka akan mula berkumpul sekitar jam 11 pagi dan akan bergerak menuju ke Dataran Merdeka pada jam 2 petang.

“Kita telah bersiap sedia dengan lebih 2,000 anggota untuk menjaga keamanan. Tujuan kita bukan untuk halang tetapi untuk fasilitasi dan membantu kelancaran perhimpunan tersebut.

“Penganjur juga telah memaklumkan secara rasmi kepada Ketua Polis Daerah Dang Wangi, dan segala urusan logistik serta pemantauan akan diuruskan sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Menurutnya, maklumat diterima setakat ini menganggarkan antara 10,000 hingga 15,000 peserta akan menyertai perhimpunan tersebut.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan orang ramai agar mematuhi undang-undang dan tidak terlibat dalam sebarang provokasi atau tindakan yang boleh mencetuskan kekacauan.

“Kita akui hak masyarakat untuk berhimpun secara aman di bawah Perlembagaan.

“Namun, saya menyeru agar semua peserta menjaga tingkah laku, tidak membawa bahan berunsur provokatif, membakar apa-apa objek atau menggunakan suar seperti yang berlaku sebelum ini.

“Ingat, kita semua ada tanggungjawab untuk menjaga keselamatan negara,” tegas beliau.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan tiada penutupan jalan akan dilakukan buat masa ini namun langkah itu akan diambil sekiranya perlu, bergantung kepada keadaan semasa.

Mengulas kemungkinan berlaku provokasi semasa ucapan perhimpunan, Mohamed Jan berkata pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak.

“Kalau ada unsur-unsur provokasi, atau ucapan yang menyentuh perkara sensitif termasuk isu tiga R (raja, agama dan kaum), kita tidak akan teragak-agak untuk bertindak tegas,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI