IPOH – Kerajaan Negeri Perak sentiasa mendukung usaha mengangkat martabat seni dan budaya melalui program yang bersifat terbuka, menyantuni bakat tempatan dan membina jaringan kolaborasi antarabangsa yang kukuh.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, seni bukan sektor pinggiran, sebaliknya pemacu kepada ekonomi moden, pelancongan berkualiti dan kesejahteraan sosial.
Menurutnya, dalam konteks negeri Perak, seni dan budaya diberi tempat yang sewajarnya dalam pelaksanaan Pelan Perak Sejahtera 2030.
“Pelbagai inisiatif seperti Festival Sastera dan Seni Kanak-Kanak, Semarak Warisan, Homestay Warisan, Dana Kreatif Perak@PORT dan Dokumentasi Seni Tradisional telah digerakkan untuk menyemarakkan ekosistem seni, membina jati diri masyarakat serta merancakkan ekonomi pelancongan dan kreatif tempatan.
“Pendekatan ini turut mengangkat seni sebagai medium pendidikan, perpaduan, dan pembangunan insan.
“Ia juga membuka ruang diplomasi budaya yang mempertemukan komuniti tempatan dan antarabangsa dalam semangat saling menghormati dan meraikan kepelbagaian,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah yang mewakili Saarani pada perasmian Festival Seni Antarabangsa Ipoh (IIAF 2025) di Pusat Inovasi dan Sumber Kreatif Perak (PINCER), di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Pengerusi Tourism Perak, Datuk Mohamad Kamil Shafie dan Pengurus Besar Koloni Karyawan Amanjaya (PORT), Nur Hanim Mohamed Khairuddin.
Beliau berkata, pengiktirafan Ipoh sebagai bandar kreatif UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) dalam bidang muzik menjadikannya untuk terus menjadi kota seni yang terbuka.
“Ini bukan sahaja meraikan suara akar umbi dari kampung, sekolah dan jalanan, tetapi juga menyambut kehadiran penggiat seni antarabangsa untuk memperkukuh ekosistem kreatif secara dua hala,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Saarani berkata, tema festival tahun ini Gema: Seni, Penyembuhan dan Masa Depan’ dilihat benar-benar mencerminkan harapan zaman ini.
“Saat dunia sedang mencari pegangan dan ketahanan jiwa, seni muncul sebagai ruang untuk kita memahami, menyatu dan memulihkan semangat kemanusiaan.
“Justeru, saya mengajak semua untuk terus menyokong, memberi ruang, dan meraikan seni dalam segala bentuknya kerana seni mempertemu, seni juga menyatu serta terus menyemarakkan Ipoh sebagai kota seni, nadi budaya negeri,” ujarnya.
Festival dwi tahunan yang diadakan buat kali keempat anjuran PORT ini menghimpunkan kira-kira 100 seniman, penggiat seni visual, pemuzik dan pengamal budaya dari dalam dan luar negara ini berlangsung bermula hari ini sehingga 3 Ogos depan di PINCER.
Selain Malaysia, negara luar yang turut menyertai festival itu adalah Amerika Syarikat, Perancis, Jepun, Thailand, Singapura, Indonesia dan Belanda. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
IIAF 2025 bukti komitmen kerajaan Perak perkasa industri kreatif