Perak pengeluar durian utama, durian kampung jadi tarikan eksport

SELAMA Perak terus mengukuhkan kedudukannya sebagai negeri pengeluar utama durian di Malaysia apabila mencatat pengeluaran mencecah 59,217.3 tan metrik dengan nilai jualan sebanyak RM462.28 juta mengikut Banci Pertanian 2024.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, penghasilan tinggi itu membuktikan dominasi negeri ini dalam sektor durian kampung yang menjadi tumpuan utama di beberapa kawasan.

Menurutnya, antara kawasan tersebut adalah Batu Kurau, Kuala Kangsar dan Mualim yang sekali gus menyumbang signifikan kepada pertumbuhan ekonomi agromakanan negara.

“Durian, sebagai raja buah, kini menjadi antara komoditi berimpak tinggi yang menggabungkan elemen ilmu, inovasi dan integrasi ekonomi dalam pelan pembangunan negeri dan negara.

”Mengikut data FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) sekitar 70 tan metrik durian kampung dipasarkan melalui pasar tani dan saluran rasmi setiap musim, namun jumlah sebenar yang dijual terus dari dusun ke pelanggan, termasuk pembeli luar negara, adalah jauh lebih besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Durian Fest Tahun 2025 Peringkat Negeri Perak di Dataran Selama, di sini pada Ahad.

Hadir sama, Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun; Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim; dan Pengarah FAMA Perak, Azleena Zainal Abidin.

Perak pengeluar durian utama, durian kampung jadi tarikan eksport
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad membuka buah durian gimik perasmian majlis Penutup Durian Fest Peringkat Negeri Perak 2025 di Dataran Selama. Foto ABDULLAH YUSOF, 20 JULAI 2025

Dalam perkembangan sama, Saarani memaklumkan Perak juga semakin menyerlah sebagai pemain eksport utama apabila syarikat tempatan seperti Topone Solution Sdn Bhd (TSSB) berjaya mengeksport sebanyak 30 kontena durian bernilai RM20 juta pada 2024.

”Daripada jumlah itu, lima kontena melibatkan durian kampung bernilai RM1 juta, manakala 100 tan metrik pes durian kampung pula menjana pendapatan RM5.25 juta.

”Kemajuan sektor ini turut dibantu oleh kewujudan kemudahan pemprosesan dan logistik bertaraf eksport di negeri ini,

“Antaranya Duria Manufacturing Sdn Bhd di Kamunting dan Pusat Pemprosesan Buah-buahan FAMA Batu Kurau yang mampu menghasilkan produk seperti durian sejuk beku, pes dan puri menepati piawaian antarabangsa,” ujarnya.

Katanya, antara 2017 hingga 2023, Malaysia telah mengeksport durian ke lebih 41 negara dengan 73 peratus daripadanya ke China.

Tambahnya, nilai eksport durian mencecah RM1.14 bilion termasuk RM887 juta ke pasaran China pada tahun 2022.

Perak pengeluar durian utama, durian kampung jadi tarikan eksport
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berucap pada majlis Penutup Durian Fest Peringkat Negeri Perak 2025 di Dataran Selama. Foto ABDULLAH YUSOF, 20 JULAI 2025

”Varieti popular seperti Musang King, Black Thorn, D24 dan IOI kekal menjadi pilihan utama, namun permintaan terhadap durian kampung premium dari Perak juga terus meningkat seiring perkembangan pasaran eksotik global.

“Sejak itu, durian Malaysia mula menembusi 16 wilayah utama di China, dan terus mendapat sambutan luar biasa sebagai produk eksotik premium,” jelasnya.

Saarani berkata, trend eksport yang dijangka meningkat kepada RM1.8 bilion menjelang 2030 turut dipacu oleh kemajuan dalam logistik, teknologi rantaian sejuk beku serta inovasi produk hiliran seperti coklat durian, kopi durian, sambal tempoyak segera dan ais krim durian.

”Beberapa usahawan tempatan kini berjaya menembusi pasaran luar negara menerusi kerjasama strategik bersama Persatuan MyGerak Import & Export dan syarikat asing seperti Shandong Lin Hua Group.

”Melalui program seperti Durian Fest, Perak dilihat bukan sahaja memperkukuh kedudukan sebagai hub pengeluaran durian berkualiti, malah terus melahirkan usahawan berdaya saing dalam industri buah-buahan tempatan,” katanya

Lebih 20,000 pengunjung hadir sepanjang Durian Fest 2025 yang berlangsung selama tiga hari bermula 18 hingga 20 Julai dengan penglibatan lebih 25 usahawan tempatan.– MG Perak

Artikel Berkaitan:

RPKP lonjak hasil petani hingga 30 peratus – FAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI