IPOH – Menyimpan impian sejak muda, Azmil Abdul Latif, 52, akhirnya merealisasikan cita-citanya itu dengan membuka sebuah kedai pastri dilengkapi hiasan vintaj yang dinamakan Billy The Cakes sebaik sahaja mencecah usia 50 tahun.
Kedai miliknya yang terletak di Jalan Sultan Idris Shah di sini, mula beroperasi pada 13 Mei 2023 menjadi saksi perjalanan karier dan minat mendalam beliau terhadap bidang pastri serta hiasan vintaj yang dikumpul sejak lebih dua dekad lalu.
Beliau amat bertuah kerana dapat menyewa kedai di Wisma Maju Perak iaitu milik Majuperak Holdings Berhad (MAHB) kerana kedudukannya yang strategik serta berhampiran dengan lokasi tumpuan pelancong iaitu Gerbang Malam.
Mendapat pendidikan awal di Kolej Syuen dalam bidang Pengurusan Hotel, Azmil memulakan karier pertama di Sunway Lagoon Resort and Hotel di Subang Jaya, Selangor sebelum kembali semula ke Ipoh menjadi pensyarah di Kolej Syuen pada 2004 hingga 2008.
Sebelum bergelar usahawan, Azmil yang juga dikenali sebagai Billy pernah berkhidmat sebagai tenaga pengajar di GiatMARA Parit serta Ipoh selama 15 tahun yang berjaya melahirkan pelajar-pelajar berkemahiran dalam bidang pastri dan konfeksi.
“Memang cita-cita saya apabila mencecah 50 tahun saya teringin untuk membuka kedai pastri sendiri,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak di sini.
Dekorasi vintaj jadi tarikan
Minat beliau terhadap elemen dekorasi vintaj turut menjadi sebahagian daripada identiti unik kedai tersebut yang dihias penuh teliti dengan koleksi peribadinya sejak tahun 2000.
“Hiasan dalaman kedai saya kumpul dari awal sekitar tahun 2000 sewaktu pulang ke Ipoh. Saya mula mengumpul baju T lama dan pada 2014, saya beralih mula mengumpul barang-barang vintaj.
“Antara koleksi peribadi yang paling disayangi adalah botol susu yang digunakan pada waktu kecil dan masih disimpan oleh ibu serta topi keledar pertama yang saya beli kerana kebetulan saya juga berminat dengan motosikal Vespa.
“Dalam pada itu, saya juga mempunyai beberapa koleksi barangan Star Wars yang diperoleh pada tahun 80-an kerana pada zaman itu saya amat meminati filem tersebut.
Jual pastri klasik serendah RM1.50
Dari segi menu, bapa kepada seorang anak lelaki ini menjelaskan, kedainya menawarkan 13 jenis pastri klasik yang mendapat sambutan menggalakkan oleh pelanggan dari dalam dan luar negara.
“Pada bulan pertama hingga ketiga ketika perniagaan saya baru dibuka, kedai ini dipenuhi kawan-kawan yang menyokong usaha saya.
“Kawan-kawan banyak membantu mempromosikan kedai dengan memuat naik ke dalam Facebook dan dari situ pelanggan mula datang.
“‘Killer‘ menu di sini adalah krim puff berintikan krim pastri serta krim topping. Produk itu pun antara yang paling laris.
“Menu kedua terlaris adalah eclairs ‘adik-beradik‘ dengan krim puff tetapi dalam bentuk jejari dengan inti krim coklat pastri yang dicelup dengan coklat glaze atau coklat cair,” jelasnya.
Selain itu, beliau turut menjual brownies dan kek berperisa buah-buahan seperti strawberi dan mangga yang turut menjadi tarikan pelanggan tanpa mengira usia.
Menyentuh mengenai harga yang ditawarkan, beliau berkata, pastrinya dijual dengan harga mampu milik bermula serendah RM1.50 dan tidak melebihi RM15.
“Bila pelanggan datang ke sini untuk menikmati pastri kami, jika jumlah RM15, mereka boleh makan tiga jenis pastri bukan satu jenis sahaja,“ jelasnya.
Pastri klasik jadi taruhan
Azmil berkata, modal untuk memulakan perniagaan ini datang sepenuhnya daripada simpanan sendiri.
“Modal untuk membuka kedai ini memang menggunakan wang simpanan sendiri. Perabot dan barangan untuk memasak pula saya kumpul sejak awal 2014, ada yang beli baharu dan ada juga barangan terpakai,“ katanya.
Baginya, cabaran dalam industri pastri bukanlah sesuatu yang asing kerana beliau sudah lama membuat persediaan untuk menonjolkan konsep pastri klasik di pasaran yang kompetitif.
“Di sini, saya memilih untuk menjual pastri klasik. Saya hendak mengetengahkan pastri klasik supaya orang nampak dan merasa sendiri keenakannya,” ujarnya.
Ikhlas turun ilmu untuk generasi hadapan
Beliau menjelaskan bahawa pengalaman bekerja di Sunway Lagoon Resort Hotel juga meninggalkan kesan mendalam dalam hidupnya kerana di situlah beliau mula mengenali dunia kulinari secara serius.
“Dulu ketika mula bekerja di Sunway Lagoon Resort Hotel, sifu-sifu (cef) banyak mengajar saya. Pada waktu itu memang saya ‘kosong’.
“Tetapi dua cef dari Jerman dan Malaysia serta rakan sekerja banyak membantu dan memberi semangat supaya saya terus maju dalam bidang tersebut. Sehingga kini kami masih berhubung,” jelasnya.
Sebagai bekas tenaga pengajar, beliau turut menekankan pentingnya menyampaikan ilmu secara ikhlas demi manfaat generasi akan datang.
“Sewaktu saya menjadi tenaga pengajar saya memang ikhlas turunkan segala ilmu dan saya tidak simpan.
“Sebab benda ini tidak boleh bawa sampai mati. Ilmu yang saya beri kepada mereka boleh diberikan kepada anak, cucu, staf mereka untuk dimanfaatkan pada masa akan datang,” tambahnya.
Buat masa ini, Azmil masih belum bersedia untuk mengembangkan perniagaannya ke lokasi lain kerana kekurangan tenaga kerja.
“Setakat ini saya tidak berani untuk mengembangkan perniagaan kerana kekurangan pekerja. Kalau saya dapat staf, dapur yang ada besar, inshaAllah saya kembangkan,” katanya mengakhiri perbualan.
Billy The Cakes dibuka setiap hari mulai jam 12 tengah hari sehingga 10 malam dan ditutup setiap Selasa. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Rasila nekad ubah nasib anak-anak orang asli menerusi pendidikan