Pantomim ‘Sang Beret Merah’ penuh emosi, kenang tragedi FRU

IPOH – Suasana pilu menyelubungi Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan apabila satu persembahan pantomim mengenang tragedi kemalangan melibatkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 5 Ipoh dipentaskan sempena sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Perak 2025 di sini, pada Khamis.

Persembahan bertajuk, ‘Sang Beret Merah’ dipersembah di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah itu memberi penghormatan kepada wira-wira negara yang terlibat dalam insiden kemalangan pada 13 Mei lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad turut mengalirkan air mata melihat pementasan yang berdurasi 15 minit itu.

Pementasan itu mengangkat kisah sebenar tragedi menyayat hati yang telah mengorbankan sembilan anggota FRU manakala sembilan lagi cedera parah dalam insiden tersebut.

Pantomim tersebut memperlihatkan babak-babak menyentuh perasaan, menggambarkan pengorbanan, ketabahan dan kesedihan yang dialami keluarga serta rakan seperjuangan mangsa.

Pementasan pantomim penuh emosi sempena Hari Pahlawan kenang tragedi FRU
Persembahan pantomim dengan tajuk ‘Sang Beret Merah’ oleh pegawai dan anggota polis Perak bersama Persatuan Deklamasi Lakon Perak pada Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Perak 2025 di Dataran Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 31 JULAI 2025

Rakaman asal video pendek yang dimuat naik Allahyarham Konstabel Akmal Wafi Annuar yang sedang dalam perjalanan menuju ke Teluk Intan turut dipaparkan dalam pementasan tersebut.

Seramai 50 individu terlibat dalam pementasan itu, terdiri daripada 20 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta 30 ahli Persatuan Deklamasi Lakon Perak.

Persembahan pantomim itu turut diiringi deklamasi sajak oleh Timbalan Yang Dipertua Majlis Kebudayaan Negeri Perak, Azmi Ismail, Asisten Superintenden Samsudin Hussin; dan Sarjan Mejar Detektif Bashira Sharif dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Mereka berjaya menyampaikan mesej penuh makna melalui gerak tubuh, ekspresi dan alunan muzik latar yang hiba, sehingga menimbulkan rasa sebak dalam kalangan hadirin.

Dalam kejadian 13 Mei itu, sembilan anggota FRU dari Unit 5 Ipoh maut dalam nahas di Jalan Chikus-Sungai Lampam pada 8.50 pagi, semasa konvoi pasukan itu dalam perjalanan pulang selepas bertugas sempena sambutan Chitirai Pournami di Teluk Intan.

Mereka yang maut adalah, Sarjan S Perumal, 44; Sarjan Mohd Roslan Abd Rahim, 46; Koperal Mohd Pozli Jaudin, 41; Koperal Nurit Ak Pandak, 34; Koperal Amiruddin Zabri, 38; Koperal Mohamad Hilmi Mohd Azlan, 38; Koperal Muhamad Akmal Muhamad, 35; Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, 33; dan Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Sultan Perak berangkat ke sambutan Hari Pahlawan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI